Bagaimana untuk dapatkan Vaksin COVID-19?

- Advertisement -

HASIL dari pengumuman Perdana Menteri, berkaitan dengan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, ramai pula sahabat handai bertanya bagaimana cara untuk dapatkan vaksin tersebut. Mereka sudah tidak sabar-sabar untuk dapatkan perlindungan melalui imunisasi tersebut. ‘Inilah salah satu ikhtiar.’ kata mereka.

- Advertisement -

Untuk orang awam pendaftaran vaksin COVID-19 ini akan di muka dalam masa terdekat. Terdapat 5 cara bagaimana untuk mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19:

(1) Melalui aplikasi MySejahtera. Di mana pengguna yang telah pun muat turun MySejahtera dalam telefon pintar mereka diminta untuk sentiasa update dari masa ke semasa. Terdapat fungsi khas di dalam MySejahtera yang membuka borang kepada pengguna untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin COVID-19. Segala proses akan menjadi lebih mudah dan lebih senang kerana semua notifikasi akan diberitahu melalui MySejahtera ataupun SMS yang akan dihantar kepada pengguna tersebut. Tarikh temu janji untuk dos pertama atau jika untuk dos ke dua juga akan diberitahu melalui aplikasi tersebut. Malah aplikasi MySejahtera tersebut mempunyai fungsi untuk melaporkan jika berlaku kejadian kesan sampingan. Satu sijil digital akan diberikan kepada pengguna untuk kegunaan beliau apabila diperlukan di waktu-waktu tertentu dan di tempat-tempat yang memerlukan. 

(2) Bagi pengguna yang tidak muat turun aplikasi MySejahtera atau tidak mendapat akses internet pendaftaran boleh dibuat di Klinik-klinik Kesihatan seluruh negara. Terdapat 600 lebih pusat atau klinik Kesihatan yang menawarkan khidmat ini seluruh negara. Pegawai yang bertugas akan membantu anda untuk membuat pendaftaran seterusnya memberi tarikh-tarikh yang penting untuk anda hadir bagi mendapatkan vaksin tersebut. 

(3) Program bantuan (Outreach) bagi kawasan luar bandar dan pedalaman juga akan dilaksanakan oleh pasukan kesihatan yang ditugaskan.

(4) Pendaftaran atas talian iaitu melalui telefon juga akan dikemukakan nanti setelah sistem siap dibangunkan.

(5) Pendaftaran melalui laman sesawang khas www.vaksincovid.gov.my  juga akan dibuka dalam masa terdekat setelah semua prasarana berkaitan dibangunkan. 

Semua proses pendaftaran kepada orang awam ini akan dibuka seawal bulan Mac nanti. Diminta kepada masyarakat umum untuk sentiasa mengemaskini MySejahtera mereka ataupun mendapat maklumat dari pusat-pusat yang dinyatakan itu.

Ini adalah usaha yang dijalankan oleh kerajaan demi menjamin dan menjaga kebajikan rakyat supaya tidak tercicir dari mendapat perlindungan melalui vaksinasi ini.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 19/2/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -