MKI dibarisi para Mufti dan pakar-pakar berwibawa

- Advertisement -

SAYA selalu merasa kagum dengan kedalaman ilmu para Mufti dan pakar-pakar Muslim yang menjadi ahli Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). Banyak ilmu baru dan terkini yang mereka kaji, gali dan kongsikan semasa mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ini, sebelum sesuatu keputusan dapat dicapai.

Untuk makluman, jawatankuasa inilah yang akan mengeluarkan fatwa berdasarkan isu-isu semasa di peringkat Kebangsaan. Keahlian Jawatankuasa ini bukan calang-calang. Selain daripada Mufti-mufti setiap negeri, ada lagi sembilan orang alim ulamak dan kalangan profesional yang dilantik oleh Majlis Raja-raja.

- Advertisement -

Pakar dalam bidang tertentu juga akan dipanggil untuk berikan pandangan secara terperinci bagi membantu Jawatankuasa mendapatkan maklumat yang tepat. Saya seronok melihat sinergi di antara alim ulamak dan pakar kesihatan daripada KKM yang saling membantu dan berkongsi ilmu bagi menyelesaikan isu kali ini, iaitu yang berkaitan dengan hukum suntikan vaksin COVID-19 di dalam bulan Ramadan. 

Begitu juga dalam isu vaksinasi COVID-19 kepada bakal Jamaah Haji dan umrah sekiranya pintu sempadan dibuka nanti. Walaupun saya sendiri berlatar belakangkan pendidikan agama, saya amat menghormati para Mufti dan ilmuwan yang pakar dalam ilmunya. 

Hukum agama tidak boleh mengikut pendapat sendiri, hanya mereka yang memenuhi syarat-syarat ijtihad yang boleh mengeluarkan hukum. Saya mengharapkan agar sahabat-sahabat berilah kepercayaan kepada keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa ini, apatah lagi ijtihad yang dibuat itu secara berkumpulan serta bersama-sama dengan pakar bidang lain.

Fatwa yang dikeluarkan oleh sekumpulan individu yang berkelayakan adalah keputusan yang berkat dan lebih menjamin ketepatan berbanding dengan berpegang kepada maklumat sensasi yang tidak jelas sumber dan kebenarannya. InsyaAllah, jika kita sama-sama bersatu melawan COVID-19, semakin cerah harapan untuk Allah izinkan kita meraikan Ramadan kali ini dengan bersolat Tarawih bersama-sama di masjid.

YB AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 18/2/2021

- Advertisement -