Pengasas Sugarbook ditahan, bukti kerajaan bertindak serius

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penahanan pengasas aplikasi cari teman Sugarbook membuktikan kerajaan bertindak serius dalam menangani aktiviti tidak bermoral berkenaan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli memuji tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sikap pihak kerajaan Perikatan Nasional yang bertanggungjawab dan mendengar aduan bantuan yang dibangkitkan oleh rakyat dalam sesuatu isu.

“Sudah pasti isu ini, kita tidak mahu hanya sekadar penangkapan, soal siasat dan akhirnya terlepas tetapi ia tindakan awal bagi menyekat sebarang aktiviti yang tidak bermoral yang boleh merosakkan negara, masyarakt dan individu.

- Advertisement -

“Jika perlu, satu hukuman sebagai pencegahan perlu dikenakan agar tidak ada lagi mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dan mengulang aktiviti tidak bermoral ini,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Semalam, pihak polis telah menahan seorang lelaki yang dipercayai merupakan pengasas aplikasi Sugarbook.

Dalam satu kenyataan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegusaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan.

Selain itu, polis juga menjalankan siasatan mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan atas kesalahan terbabit dalam kegiatan pelacuran.

Mengulas lanjut, Hanafi berkata tindakan pantas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malasysia (SKMM) menyekat laman sesawang tersebut juga harus dipuji.

Menurutnya, perkara ini membuktikan pihak kerajaan begitu serius melihat isu ini apabila ia melibatkan generasi muda yang masih dalam pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam negara kerana mereka merupakan aset yang cukup bernilai buat negara.

Tambah Hanafi lagi, seiringan dengan isu yang berlaku ini, Pemuda PAS Selangor terus mendekati anak muda dalam memberikan kesedaran serta merancakkan lagi program-program dalam membangunkan kefahaman dan moral anak muda agar selari dengan tuntutan agama dan memenuhi kehendak negara.

Minggu lalu, aplikasi Sugarbook menjadi perhatian apabila hangat diperkatakan selepas mendakwa semakin ramai wanita Malaysia terutamanya penuntut 10 institut pengajian tinggi (IPT) yang menawarkan diri sebagai sugar baby di laman aplikasi itu.

Menurut statistik menunjukkan seramai 12,705 pelajar IPT berdaftar dengan aplikasi Sugarbook untuk mencari sugar daddy, dengan peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran penggunaan baharu dipercayai akibat desakan hidup ketika Covid-19.

Baru-baru ini, Malaysia dilaporkan berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia, selepas India dan Indonesia bagi negara mempunyai bilangan sugar daddy paling ramai melalui aplikasi Sugarbook. – HARAKAHDAILY 18/2/2021

- Advertisement -