Tanggungjawab dan belenggu berfikir

- Advertisement -

MAKHLUK yang sempurna

Manusia menurut kesepakatan ulamak menjadi makhluk yang paling sempurna penciptaannya kerana memiliki akal (al-Isra’:70, at-Tin :4). Dengan akal yang dikurniakan ini, manusia berupaya mentadbir dunia sama ada mengikut acuan yang dikehendaki lalu menjadi baik, atau menurut nafsu, lalu menjadi rosak. 

Manusia semuanya berfikir, cuma apakah yang difikir itu suatu yang berguna atau sebaliknya. Berfikir yang menyelesaikan masalah atau menambah runsing. Berfikir dengan tujuan membaiki kehidupan kepada lebih baik atau mahu merosak kehidupan orang lain. Bahkan hingga berfikir mahu mengikut petunjuk Tuhan atau mahu melawannya.

- Advertisement -

Belenggu akal

Kalimah العقل  dan pecahannya disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran sebanyak 49 kali. Bahkan beberapa lafaz yang berkaitan seumpama Ulil Albab, Ulin Nuha dan lain-lain juga turut direkodkan. Maka adalah suatu yang sangat tidak benar, jika kita menganggap kebodohan, pasif dan hanya perlu ikut telunjuk itu sinonim dengan umat Islam. Pasti ada belenggu yang menjadi punca kepada sikap ini.

Terdapat 3 belenggu yang menghalang seseorang untuk berfikir secara terbuka. Ini bermakna, jika kita tidak dikongkong oleh 3 elemen ini, kita mampu untuk berfikir dengan baik dan rasional:

(i) Belenggu persekitaran – Seseorang atau kebanyakan kita terikat dengan apa yang dipegang oleh ramai orang berbanding memiliki gambaran sebenar. Sesuatu isu dibaca bukan dari sumber asal tetapi apa yang telah diolah oleh sumber kedua dan ketiga, atau telah diikat oleh media untuk kita mengetahui apa yang dikehendaki sahaja. Untuk tahu siapa betul atau salah dalam satu-satu topik, adalah bergantung pada komen orang ramai, bukan lagi meneliti kandungannya.

(ii) Belenggu asobiah – Setiap kita mempunyai kecenderungan yang pelbagai dalam anutannya (intima’), sama ada individu, kumpulan, parti dan lain-lain. Boleh jadi sesuatu isu atau topik diterjemah dalam lingkungan kelompoknya sahaja secara asobiah, lalu disambut oleh semua secara sepakat walaupun tidak jelas mengenainya. Apa yang datang dari kumpulan kita pasti benar dan sebaliknya. Elemen ini amat dilarang oleh Islam kerana ia menjadi sebab kepada berlakunya kezaliman.

Tidak dinafikan akan peri pentingnya intima’ yang menjadi asas terarahnya hidup manusia. Tetapi dikhuatiri intima’ itu disalah ertikan maknanya yang sebenar.

(iii) Belenggu ingatan – Kekuatan ingatan adalah nikmat yang besar bagi kita. Mereka yang memiliki ingatan yang kuat akan dilihat sebagai insan yang kompeten dan dipercayai maklumatnya. Tetapi tetaplah keutamaannya bukan hanya pada ingatan yang kosong, bahkan mampu menggabungjalin di antara fakta dengan realiti semasa. Maklumat yang diingat perlulah dicernakan supaya ia berpijak di alam realiti. Itulah yang diajarkan oleh al-Quran ketika meminta manusia untuk mentadabbur kandungannya sebagai suatu keutamaan. 

Merasa tanggungjawab

Yang menjadikan berfikir itu mendapat pahala adalah apabila meletakkan kepentingan agama dan umat di hadapan. Dalam erti kata yang lain, berfikir dengan rasa tanggungjawab. Dalam mengemukakan pandangan atau kritikan, meletakkan dosa dan pahala sebagai kayu ukur, sentiasa membayangkan implikasi baik atau buruk terhadap umat. Ia bukanlah gimik untuk dilihat berdaya saing, bahkan benar-benar tulus mahu mencari jalan keluar.

Baginda S.A.W pada fasa awal dakwahnya bersendiri di Gua Hira’, bukan kerana mahu menjauhkan diri dari umat, tetapi kerana merasa bingung akan kebejatan yang teruk di Makkah tetapi tidak tahu apa dan bagaimana mahu mengubahnya. Lalu Allah bekalkan padanya al-Quran sebagai panduan untuk membuat perubahan tersebut yang diterima oleh Baginda S.A.W dengan penuh rasa tanggungjawab. 

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
17 Februari 2021 – HARAKAHDAILY 17/2/2021

Rujukan:
Takwin Al Mufakkir, Khutuwat Amaliah – Dr. Abd. Karim Bakkar

- Advertisement -