Manfaat tabung masjid bantu penduduk terjejas Covid

- Advertisement -

KANGAR: Sudah sampai masanya duit simpanan masjid yang dikumpul selama ini dimanfaatkan bagi membantu kebajikan ahli kariah di tempat masing-masing.

Usaha itu wajar dilakukan dengan mengambil kira pandemik Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPK) 2.0 memberi kesan terhadap golongan B40.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, melalui wang tabung tersebut boleh melaksanakan program food bank di masjid di setiap kampung.

- Advertisement -

Katanya, langkah itu boleh membantu golongan B40 yang terputus bekalan makanan untuk menampung keperluan keluarga.

“Dana masjid juga boleh digunakan bagi menyediakan kemudahan internet komuniti secara percuma untuk membantu pelajar yang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian,” katanya di sini, semalam.

Di Kelantan sebelum ini Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mewujudkan food cupboard di masjid-masjid tertentu yang dimanfaatkan penduduk miskin.

Azmir berkata, kesusahan yang terpaksa ditanggung rakyat boleh dimanfaatkan ahli jawatankuasa masjid di setiap kampung dengan menyumbang dana yang ada.

“Pihak masjid juga boleh memperuntukkan sebahagian daripada dana untuk disalurkan kepada anak-anak kariah yang memerlukan bantuan kewangan agar kebajikan mereka sentiasa terbela.

“Sudah sampai masanya masjid memainkan peranan sebagai sebuah institusi yang mengutamakan kebajikan rakyat dalam situasi yang amat mencabar sekarang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -