Islam disamakan dengan ideologi ciptaan manusia?

- Advertisement -

GOLONGAN yang menyamakan Islam dengan ideologi-ideologi ciptaan manusia, ibarat orang yang menganggap manusia dan beruk adalah makhluk yang serupa. Kesimpulan gopoh tersebut terbina atas tanggapan bahawa antara manusia dan beruk kelihatan ada persamaannya secara zahir.

Sesungguhnya kita tidak menerima teori yang mendakwa kononnya Islam membawa aspirasi yang serupa dengan Liberalisme, Sosialisme atau Feminisme. Wujudnya aspirasi di dalam Islam seumpama melestarikan kebebasan, membela kepentingan bersama dan menentang patriarki, membuktikan ia adalah agama syumul bahkan adil yang melunasi keperluan fitrah manusia sesuai pada kadarnya.

Adapun ideologi-ideologi ciptaan manusia, mengandungi unsur melampaui batas yang melanggari hak sesama manusia sama ada secara terang atau secara halus dan mengesampingkan soal tanggungjawab bersama. Dari sudut yang lain, sudah pastilah berbeza antara ajaran wahyu dan idea manusia yang tabiatnya berlatarkan konflik lalu melahirkan percubaan demi percubaan. 

- Advertisement -

Disebabkan itu, ideologi-ideologi ciptaan manusia sering mengalami evolusi dan sangat terdedah memunculkan antithesis yang radikal. Selalu sahaja berlaku, dalam rangka ingin mendapatkan sesuatu kehendak yang diingini, manusia menceroboh hak pihak lain pula.

Pada masa yang sama, kita pun tidak dapat nafikan bahawa ramai dalam kalangan umat Islam sendiri yang tidak memahami ajaran wahyu secara luhur. Lalu menjelmakan perilaku-perilaku zalim yang kemudian diatas-namakan, kononnya itulah ajaran Islam yang sebenar. Walhal terseleweng, kerana Islam yang tulen tidak akan melahirkan kezaliman.

Jaga agama sendiri

Ada orang kata, asalkan hujung tahun sahaja mesti berulang polemik boleh atau tidak boleh ucap Selamat Hari Natal. Mungkin kita selaku umat Islam perlu melihat beberapa sudut berikut:

(1) Pertamanya, surah al-Kafirun kekal relevan sampai hari kiamat.

(2) Kedua, barangkali ramai anggap kononnya ia adalah isu picisan. Namun bagi yang benar-benar cermat memelihara akidah, ia adalah isu besar.

(3) Ketiga, kejahilan umat Islam hari ini masih berterusan dan daya tahannya tidak sepadan dengan pengambilan risiko mengucapkan Selamat Hari Natal.

(4) Keempat, Malaysia adalah negara yang tidak berdepan dengan ketegangan antara agama. Justeru tidak perlu apologetik terhadap pendirian agama kita sendiri.

(5) Kelima, dakwah bermaksud menyampaikan mesej Islam, bukannya membuatkan orang bukan-Islam semakin yakin dengan pegangan mereka.

Ini adalah pertimbangan yang berbentuk pencegahan. Mengambil tahu berkenaan perbahasan teologi, sangat membantu kita agar peka terhadap gejala Pluralisme agama.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 28/12/2020

- Advertisement -