NGO, PAS Cawangan bantu penduduk terjejas di ibu kota

- Advertisement -

BATU: Kehidupan rakyat terutamanya golongan B40 yang tinggal di bandar-bandar besar ketika penularan pandemik Covid-19 begitu memeritkan.

Malah ada dalam kalangan mereka kehilangan sumber pendapatan apabila kilang dan syarikat tempat mencari rezeki mengecilkan operasi.

Menyedari hakikat itu Pertubuhan Kebajikan Al-Mannar Malaysia dan PAS Cawangan Taman Wilayah tampil membantu penduduk yang terjejas.

NGO terbabit menyumbang keperluan asas dan baucer buku kepada golongan B40 yang menetap di Taman Desa Bakti di kawasan Parlimen Batu.

- Advertisement -

Antara barang keperluan asas yang diagih iaitu beras, tepung, minyak masak dan sebagainya. Manakala baucer buku bernilai RM50 pula ditaja Yayasan Wilayah Persekutuan.

Sumbangan disampaikan Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah Dan Wanita Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Azhar Yahya dan wakil Pertubuhan Kebajikan Al-Mannar Malaysia Mohamad Noh Abd Rahim.

Azhar yang juga Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, bantuan itu merupakan inisiatif yang diusahakan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 5 dan ahli jawatankuasa Madrasah Al-Ikhwan.

“Usaha tersebut diharap dapat meringankan beban ibu bapa dan ketua keluarga dari kumpulan B40 yang terjejas ekoran pandemik Covid-19,” katanya pada program berkenaan, semalam.

Sumbangan diagih mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan yang ditetapkan kerajaan.

Turut hadir pada program tersebut Ketua Cawangan PAS Taman Wilayah, Azmi Bolia. – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -