Isu pasaran buah nanas jenis Moris

- Advertisement -

ADALAH dimaklumkan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah mengambil maklum berkenaan isu pasaran buah nanas jenis Moris di Johor yang berlaku di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada ketika ini.

Masalah pasaran buah nanas Moris ini telah dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di daerah Batu Pahat, Kluang dan Pontian yang melibatkan sebilangan pekebun nanas Moris berdaftar dan tidak berdaftar di bawah LPNM. 

- Advertisement -

Isu ini telah tular di media sosial, di mana terdapat sesetengah pihak berkepentingan mengambil kesempatan dengan menuduh pihak kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan.

Masalah pasaran buah nanas Moris ini berlaku disebabkan pembatalan pembelian oleh pihak pemborong terhadap pekebun mengikut jadual pengeluaran yang telah ditetapkan, mengakibatkan nanas ini tidak dapat dijual seperti biasa.

Ia adalah berpunca daripada kekurangan permintaan di pasaran berikutan pelaksanaan PKP, terutamanya bagi segmentasi masakan yang kebiasaannya melibatkan majlis kenduri kendara, sektor perhotelan dan juga restoran.

Pihak LPNM bersama FAMA telah pun mengambil langkah proaktif dengan membuat pemantauan awal terhadap pekebun di lapangan dan menawarkan inisiatif bantuan pasaran kepada pekebun terjejas dengan pembelian oleh pihak FAMA dan pemadanan bersama pihak kilang pengetinan.

Namun begitu, terdapat pekebun yang terus berusaha menjual sendiri nanas Moris mereka untuk mendapatkan lebih margin keuntungan. Selain dari itu, masalah ini juga melibatkan pekebun tidak berdaftar, yang telah menyebabkan beberapa laporan permasalahan ini di luar pengetahuan pihak LPNM atau FAMA.

Walau bagaimanapun, LPNM akan berusaha membantu pekebun untuk memasarkan hasil Moris mereka dengan melaksanakan kolaborasi bersama pihak FAMA, mengadakan rundingan dengan pihak kilang pengetinan, serta melaksanakan pemadanan pasaran dengan pihak pemborong dan peruncit yang memerlukan.

LPNM melihat perkara ini masih di dalam kawalan kerana pengeluaran nanas adalah secara berjadual dan berperingkat. Pihak LPNM yakin dengan pembukaan sektor ekonomi serta pergerakan lokaliti yang lebih luas secara berperingkat, ia dijangka akan akan memberikan kesan pasaran yang positif bagi pasaran buah nanas.

Sehubungan dengan itu, LPNM menyeru kepada pekebun yang mengalami masalah pasaran supaya menyalurkan permasalahan terus kepada pihak LPNM bagi membolehkan LPNM mengambil tindakan segera. Pekebun boleh menghubungi Pejabat LPNM negeri atau pegawai kawasan bagi menyalurkan permasalahan yang dihadapi.

Sebarang aduan dan pertanyaan juga boleh melalui sistem e-maklum balas LPNM di www.mpib.gov.my/fms atau melalui Facebook Rasmi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.

Susulan tular isu pasaran buah nanas jenis Moris yang berlaku di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada ketika ini, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bersedia untuk membantu pekebun yang terjejas.

Permasalahan yang timbul melibatkan pekebun nanas jenis Moris di Johor sama ada yang berdaftar dan tidak berdaftar dengan LPNM ini, disebabkan oleh pembatalan pembelian antara pihak pemborong dengan pekebun mengikut jadual pengeluaran yang telah dipersetujui.

Bagaimanapun, sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab, LPNM bersama FAMA komited untuk membantu pekebun nanas jenis Moris yang terlibat. Selain itu, LPNM menyeru pekebun yang berdepan masalah sama untuk menyalurkan aduan agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

YB DATO’ DR. SAHRUDDIN JAMAL
Pengerusi
Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia – HARAKAHDAILY 14/2/2021

- Advertisement -