LZNK peruntuk RM23 juta bantu pelajar asnaf, miskin

- Advertisement -

BALING: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperuntukkan RM23 juta untuk empat skim bantuan khas bagi memastikan tiada pelajar asnaf dan miskin yang tercicir dalam arus kepesatan digital bagi mendapatkan kemudahan pendidikan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim berkata daripada jumlah itu sebanyak RM21.7 juta telahpun diagihkan kepada semua sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk peralatan pembelajaran dan pengajaran pada 2019 dan tahun lepas.

“LZNK menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan sekolah untuk mencari dan mempertimbang mana-mana pelajar yang tercicir akibat masalah kewangan untuk diagihkan bantuan peralatan seperti telefon pintar, tablet ataupun komputer riba termasuk pakej langganan data dan internet mengikut kesesuaian,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan telefon pintar kepada anak-anak Orang Asli di Kampung Ulu Legong di sini hari ini yang turut dihadiri Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

Ammar berkata daripada jumlah itu LZNK juga memperuntukkan RM650,000 kepada tiga Sekolah Zakat Kedah yang menempatkan anak asnaf bagi melaksanakan program i-Digital.

“Ia membabitkan pemberian kemudahan telefon pintar beserta data dan internet selama setahun kepada 370 orang pelajar secara percuma,” katanya yang turut memaklumkan RM561,000 untuk bantuan peralatan digital kepada 187 sekolah yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

Beliau berkata bantuan telefon pintar beserta data dan internet secara percuma selama setahun juga akan diagihkan kepada 360 pelajar fakir dan miskin cemerlang tajaan biasiswa LZNK yang kini ditempatkan di sekolah Agama Rakyat (SAR) membabitkan peruntukan RM280,800.

“Dengan empat skim bantuan khas ini pihak LZNK berharap ia dapat mengurangkan jurang ‘kemiskinan digital’ dalam kalangan asnaf sekali gus dapat memastikan setiap asnaf tidak tercicir daripada mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -