Usaha permudahkan gerak kerja dakwah

- Advertisement -

JAUH di sudut hati setiap yang bernama pendakwah, pasti mahu melihat rahmat dan kasih sayang Islam sampai kepada semua. Saya percaya, ini semua adalah cita-cita kita. Cita-cita PAS, cita-cita pegawai agama, cita-cita semua NGO dakwah, cita-cita saudara Ebit Lew (UEL).

Secara peribadinya, saya sendiri mengagumi dan terinspirasi dengan ketangkasan UEL membantu orang susah. Saya mengharapkan agar UEL tidak berputus asa walaupun keadaan sekarang tidak mengizinkan. Situasi di sana tidak seperti di Semenanjung. Wujud ancaman keselamatan terutamanya di beberapa kawasan tumpuan.

- Advertisement -

Harapan yang sama juga saya berikan kepada pegawai-pegawai agensi agama di bawah YB Menteri Agama dan saya, agar tidak patah semangat dengan cemuhan orang ramai. Kita terus tambah baik dari sudut prosedur dan pelaksanaan, agar dapat meringankan beban lebih ramai rakyat yang memerlukan.

Ketika pandemik ini, di Wilayah Persekutuan sendiri, kita telah cuba sedaya upaya meminimakan birokrasi dengan mewujudkan aplikasi Mobile Jejak Asnaf MAIWP (MoJa).

Orang ramai boleh melaporkan secara dalam talian jika ada sahabat atau jiran yang ditimpa musibah seperti hilang mata pencarian, tidak mampu membayar sewa dan tiada makanan.

Dengan cara ini juga, kita telah berjaya menyumbang sebanyak RM363.5 juta daripada Tabung Musaadah COVID-19 kepada 545,658 penerima, 1830 institusi, 200 perusahaan kecil dan sederhana, 59 rumah anak yatim dan kebajikan, 10 NGO dan 9 buah hospital. 

Kekurangan yang ada telah banyak kita baiki sedikit demi sedikit. Semoga lebih ramai dapat memahami bahawa prosedur yang kita lakukan adalah demi kebaikan bersama, agar wang kutipan zakat tidak mudah-mudah diperoleh oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.

Matlamat kita sama, cuma pada setiap posisi ada cabaran yang berbeza. Semoga Allah memberi kekuatan kepada UEL dan semua hero-hero yang tidak didendang ini untuk terus berkhidmat menyampaikan rahmat dan kasih sayang Islam.

YB AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 3/2/2021

- Advertisement -