Perak komited teraju kelestarian alam sekitar

- Advertisement -

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Haji Saarani bin Mohamad menggariskan lima teras utama yang menjadi agenda penting kerajaan pada tahun 2021 iaitu:

(1) Merangsang Ekonomi Yang Berdaya Tahan,
(2) Memantapkan Sistem Penyampaian Awam,
(3) Menegakkan Keadilan Sosial dan Pembasmian Kemiskinan, 
(4) Memacu Pemodenan dan Budaya Pendigitalan dan
(5) Meneraju Kelestarian Sumber dan Alam Sekitar.

- Advertisement -

Teras kelima, Meneraju Kelestarian Sumber dan Alam Sekitar. Seperti kita semua sedia maklum, Negeri Perak merupakan negeri yang kaya dengan sumber alam semula jadi. Rizab hutan negeri adalah seluas 2.1 juta hektar yang meliputi 51 peratus daripada keluasan negeri. Kawasan pertanian pula merangkumi 37.3 peratus daripada keluasan negeri.

Kerajaan negeri komited untuk menjadi peneraju kelestarian sumber dan alam sekitar dengan mewujudkan suatu pelan yang holistik untuk mempromosikan agenda ‘Perak Bumi Lestari’. Agenda ini diharap mampu menggerakkan pembangunan negeri secara lestari.

Kita tidak mahu mewariskan kepada generasi akan datang alam sekeliling yang semakin musnah yang bakal mendatangkan pelbagai bentuk impak buruk. Justeru, agenda Perak Bumi Lestari perlu dijadikan tunjang dalam merangka pelbagai bentuk pembangunan. 

Strategi melaksanakan agenda Perak Bumi Lestari seperti berikut:

(i) Membudayakan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Kita semua perlu sedar dan cakna bahawa tugas menjaga alam sekitar bukanlah terletak pada pihak kerajaan semata-mata tetapi ianya adalah tanggungjawab kita bersama. Aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar lazimnya kurang mendapat perhatian dan komitmen masyarakat keseluruhannya kerana ianya tidak memperlihatkan kesan atau keuntungan material secara langsung.

Antara usaha yang perlu diberi tumpuan di bawah strategi ini adalah meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap alam sekitar; melaksanakan tindakan segera dan proaktif bagi menangani isu dan masalah berkaitan alam sekitar serta memperkukuh peranan sektor swasta dalam pengurusan alam sekitar. Amalan menghindari plastik sekali guna atau single use plastic misalnya perlu diterapkan di jabatan masing-masing sebagai sebahagian daripada proses pembudayaan.

(ii) Membina persekitaran kondusif berlandaskan teknologi hijau.

Teknologi hijau merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar serta mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Dalam bahasa yang mudah, teknologi hijau merupakan teknologi mesra alam yang menggunakan sumber-sumber secara minimum. Teknologi hijau dapat menjana tenaga dengan kos yang lebih murah, selamat dan mesra pengguna justeru mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara serta negeri dalam jangka masa panjang.

Saya mengalu-alukan kerjasama dengan pihak swasta melalui Public Private Partnership (PPP) bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif teknologi hijau bagi menyokong pembinaan persekitaran kondusif. Contoh-contoh projek berasaskan sumber tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) adalah seperti tenaga solar, hidro, geoterma dan sebagainya. 

Para pelabur berkaitan industri teknologi hijau akan berminat untuk melabur jika kita menyediakan insentif atau pakej yang menarik untuk mereka. Fikirkan bagaimana untuk menarik mereka dan rangka pelan kerjasama yang memberikan situasi menang-menang bagi pelabur dan Negeri Perak. Semoga lebih banyak PPP dapat diwujudkan bagi membantu Perak mewujudkan inisiatif berasaskan teknologi hijau seperti bandar hijau (green city), bangunan hijau (green building) dan pengangkutan hijau (green transportation).

(iii) Memastikan pembangunan seimbang.

Terdapat pihak yang mengatakan bahawa punca timbulnya isu alam sekitar adalah disebabkan oleh proses pembangunan dan pemodenan. Antara isu yang biasa dikaitkan adalah seperti pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran tanah, pencemaran bunyi, penebangan hutan secara haram, kepupusan flora dan fauna, pembuangan sisa toksik, pembuangan sampah sarap dan kesesakan lalu lintas.

Kita perlu sedar bahawa proses pembangunan adalah sesuatu yang tidak boleh disekat. Dari sudut ekonomi, sumber alam seperti hutan, tanah dan sebagainya merupakan sumber ekonomi yang perlu dimajukan demi kemakmuran rakyat. Perkara yang sepatutnya diberi perhatian ialah bagaimana kita merancang dan mengurus pembangunan itu dengan mengambil kira aspek penjagaan alam sekitar. 

Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri Perak komited untuk merangka strategi pembangunan yang seimbang, yakni menjaga dan memulihara alam semula jadi di samping melaksanakan pembangunan. Antara fokus di bawah strategi ini adalah mengharmoni dan mengintegrasi dimensi alam sekitar dalam dasar semua sektor; serta memantapkan penguatkuasaan berkaitan isu-isu alam sekitar.

YB MOHD AKMAL HAJI KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 1/2/2021

- Advertisement -