Tahun 2021 dan kelestarian alam sekitar

- Advertisement -

BERSYUKUR kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan rahmat-Nya, kita kini telah berada di penghujung tahun 2020. Sesungguhnya, masa berlalu dengan sangat pantas, dan telah menjadi kebiasaan bagi diri kita apabila tiba tahun baharu, kita membina azam serta iltizam yang baharu. Marilah kita sama-sama doakan agar tahun 2021 menjadi satu tahun yang lebih baik dari tahun sebelumnya.

Tahun 2020 telah menyaksikan penularan wabak COVID-19 yang telah melanda dunia secara global. Penularan ini mendorong kerajaan di setiap negara mengambil langkah dengan melaksanakan ‘lockdown’ bagi mengurangkan penularan wabak ini. Penelitian terhadap data telah memperlihatkan kepada kita penurunan indeks pencemaran udara, air dan gas rumah hijau yang seharusnya menjadi satu iktibar kepada kita, agar meneruskan segala usaha bagi memastikan kelestarian alam sekitar sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals). Di samping itu, kesan COVID-19 juga mengubah suasana dan budaya kita, menjadikan kita semua lebih cakna terhadap penjagaan kesihatan dan kebersihan.

- Advertisement -

Buat kali ketiga belas sejak dilancarkan pada tahun 2004 Forum Alam Sekitar dan Kesihatan Arab (AFED) membuat laporan untuk tahun 2020, antara yang dibentangkan ialah:

(a) Sebelum munculnya pandemik COVID-19 penyakit berjangkit semakin berkurangan. Yang semakin bertambah ialah penyakit akibat pencemaran alam sekitar.

(b) Ini mengakibatkan lebih 420,000 orang di negara-negara Arab meninggal dunia pada usia muda, yang mana ia adalah 20 peratus dari jumlah keseluruhan kematian di usia tersebut.

(c) Antara penyakit yang mengakibatkan kematian usia muda ialah akibat pencemaran alam sekitar, seperti sesak nafas, penyakit jantung, saluran darah dan beberapa jenis kanser.

(d) Puncanya ialah akibat pencemaran udara, air tidak bersih, sisa bahan kimia dan juga racun kimia yang digunakan dalam sektor pertanian.

(e) Peluasan kawasan pertanian, penternakan, penebangan hutan untuk kediaman manusia dan sebagainya mengakibatkan virus yang berasal daripada haiwan-haiwan berpindah kepada manusia.

(f) Dijangkakan pada masa akan datang, kesihatan manusia akan banyak dipengaruhi oleh kesihatan alam sekitar.

Aspirasi ini turut dikongsi bersama oleh kami dalam membentuk hala tuju, untuk dijadikan rujukan bagi semua rakyat, dalam usaha melestarikan pengurusan kesihatan, sains, alam sekitar dan teknologi hijau. Kami gariskan 7 Prinsip Kelestarian Alam Sekitar Mengikut Acuan Islam seperti berikut: 

(1) Sistem semulajadi itu lengkap dan sempurna.

Allah S.W.T telah menciptakan alam ini secara sempurna dan sistematik tanpa sebarang kekurangan. Antara yang dapat kita saksikan secara jelas, peredaran bumi dan cakerawala yang teratur dan bebas daripada sebarang kegagalan, tidak sepertimana teknologi ciptaan manusia yang sentiasa memerlukan pemeriksaan dan penyelenggaraan.

(2) Alam ini dicipta untuk manusia.

Alam ini dicipta untuk manusia agar manusia memakmurkan alam ini dengan Syari’at Allah, sepertimana firmanNya:

هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ لَكُم مَّا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًۭا ثُمَّ ٱسْتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَسَوَّىٰهُنَّ سَبْعَ سَمَـٰوَٰتٍۢ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ

“Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” 

(al-Baqarah: 29)

(3) Sumber alam mencukupi untuk manusia. 

Allah S.W.T telah menjamin bahawa sumber alam adalah mencukupi untuk menampung semua keperluan manusia atas muka bumi ini. Maka, sumber alam perlulah diurus dengan baik, adil dan saksama.

(4) Sumber alam perlu diurus dengan adil.

Allah S.W.T telah memerintahkan agar hasil sumber bumi diuruskan dengan baik serta diagihkan untuk memanfaatkan semua penduduk di sesebuah negeri. Antara hasil bumi yang harus diurus dengan baik adalah hasil pertanian, buruan, pembalakan, petroleum dan galian, emas dan lain-lain.

(5) Larangan melakukan kerosakan.

Tatkala kita berusaha mempertingkat pengeluaran hasil bumi, Allah S.W.T telah menegaskan bahawa manusia tidak seharusnya melakukan kerosakan di atas muka bumi, dan jika kita menyesuaikan keadaan dengan konteks terkini, perbuatan ini termasuklah larangan kepada kita untuk melepaskan bahan kumbahan proses kimia secara tidak bertanggungjawab, yang menyebabkan pencemaran alam, seterusnya membawa kemudaratan seperti sorotan kes pencemaran Sungai Kim Kim yang memangsakan lebih kurang 2,775 orang awam pada Mac 2019.

(6) Kerosakan alam sekitar akibat perbuatan manusia sendiri.

Kerosakan yang berlaku pada alam sekitar kini bukanlah berpunca daripada kerosakan semulajadi, malah telah diterangkan bahawa kerosakan yang berlaku adalah berpunca daripada kepincangan dalam pengurusan alam oleh manusia itu sendiri. Hal ini telah diterangkan oleh Allah S.W.T dalam Al-Quran: 

ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

(ar-Rum: 41)

(7) Sikap tamak manusia punca kerosakan.

Akhir sekali, Allah S.W.T telah menjelaskan bahawa kerosakan yang dilakukan oleh manusia adalah kerana sikap tamak membolot kekayaan untuk kepentingan sendiri dengan mengabaikan tanggungjawab terhadap alam sekitar, sehingga menyebabkan hakisan, kepupusan, peningkatan suhu dunia dan perubahan iklim. 

Kami berhasrat agar segala akta dan peraturan berkenaan kelestarian alam dapat dilaksanakan secara efektif, agar kelestarian alam sekitar dapat dijamin. Dalam masa yang sama, pelaksanaan ini tidak membebankan syarikat dan pelabur hanya kerana kos operasi pemulihannya yang tinggi sehingga boleh menyebabkan proses tersebut gagal dilaksanakan dengan baik. Selain itu, diharapkan juga agar kita dapat bersama-sama memfokuskan kepada pembaik-pulihan dan penciptaan lebih banyak yang berkaitan dengan teknologi hijau, yang sememangnya baik dan meminimakan pencemaran alam sekitar.

Sempena kehadiran tahun baru ini, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada semua rakyat Malaysia khususnya warga Perak. Kami berharap agar tahun 2021 menjadi satu tahun yang berjaya membentuk Negeri Perak ke arah negeri yang bertepatan dengan visi kelestarian alam sekitar. Kami yakin sekiranya kita melakukannya dengan bersungguh-sungguh dengan penuh rasa tanggungjawab dan keikhlasan, insya-Allah kita akan berjaya.

“Selamat Menyambut Tahun Baharu 2021”

YB MOHD AKMAL HAJI KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 31/12/2020

- Advertisement -