PKP dua minggu di Kapit dan Song Sarawak

- Advertisement -

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak semalam mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu di Kapit dan Song, berkuatkuasa 12.:01 tengah malam 2 Februari 2021 hingga 11:59 malam 15 Februari 2021.

Langkah itu dibuat berikutan peningkatan kes COVID-19 di kedua-dua kawasan tersebut sejak beberapa hari lalu. Sebagai Ahli Parlimen Kapit, saya menyedari kegusaran yang dihadapi oleh semua penduduk di kedua-dua kawasan yang sebelum ini merupakan kawasan ‘hijau’ (green zone area).

- Advertisement -

Saya ingin memohon kepada semua penduduk agar kekal bertenang dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa untuk kekal berada di rumah di dalam tempoh PKP ini.

Saya memandang serius penularan jangkitan COVID-19 di kedua-dua kawasan dan pejabat wakil rakyat Parlimen Kapit dan ADUN Bukit Goram akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan penularan wabak COVID-19 berjaya dikekang sepenuhnya. Wakil saya di Kapit juga akan cuba menyalurkan bantuan yang boleh disampaikan kepada penduduk yang terjejas dan akan sentiasa memaklumkan dan mengemaskini informasi kepada penduduk. 

Sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula, semestinya saya juga menyedari situasi pembelian panik yang mungkin akan berlaku di kedua-dua kawasan berikutan arahan PKP yang diumumkan.

Saya memohon semua penduduk bekerjasama dan mengelakkan ‘panic buying’ kerana situasi itu akan mengeruhkan keadaan. Saya sudah mengarahkan anggota Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak untuk sentiasa memantau keberadaan bekalan barangan keperluan penduduk di kawasan terlibat sepanjang PKP ini.

Selain itu, anggota Penguat Kuasa KPDNHEP juga akan melakukan pemantauan bagi mengelakkan sebarang aktiviti pencatuan oleh peniaga di waktu sukar ini. Dalam pada itu, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk menasihatkan masyarakat supaya meningkatkan kesedaran mengenai amalan pencegahan jangkitan virus ini demi kebaikan semua pihak.

Perkara paling penting adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mengamalkan norma baharu terutama membabitkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, sanitasi tangan dan mengelakkan perhimpunan ramai.

Saya yakin, jika kita dapat mendidik serta mengawal diri dan keluarga masing-masing, kita akan berjaya mengekang penularan wabak ini, bukan sahaja di Kapit dan Song, Sarawak tetapi Malaysia secara keseluruhannya. 

Marilah kita bersama-sama mengambil tanggungjawab untuk memainkan peranan masing-masing dalam usaha melandaikan lekuk jangkitan COVID-19 di negara yang kita sayangi ini. Akhir kata, jika bukan kita jaga kita, siapa lagi…

DATO SRI ALEXANDER NANTA LINGGI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
Ahli Parlimen Kapit
1 Februari 2021 – HARAKAHDAILY 1/2/2021

- Advertisement -