Manfaatkan TV Pendidikan sedia ada

Photo by Thomas Park on Unsplash
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program TV Pendidikan adalah platform terbaik untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika ini memandangkan alternatif lain seperti pembelajaran atas talian mempunyai kekangan tersendiri.

Menurut ibu kepada empat orang anak, Noor Azira Ibrahim, PdPR secara atas talian tidak menyeluruh kepada semua murid terutamanya murid yang tinggal di kawasan pedalaman di mana tiada akses kepada capaian internet yang laju.

- Advertisement -

Bahkan, murid dari keluarga yang kurang berkemampuan tidak mampu untuk memiliki alat peranti bagi tujuan pembelajaran.

“Bagi saya agak sukarlah untuk kerajaan memastikan semua kawasan mencapai tahap internet yang baik oleh itu saya harap cadangan saya untuk menggunakan televisyen ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan,” ujarnya.

Bersetuju dengan pandangan tersebut, seorang guru matematik, Sakinah Omar turut berpandangan bahawa hari ini hampir setiap rumah memiliki televisyen.

Katanya, pemerkasaaan TV Pendidikan mungkin merupakan solusi terbaik yang ada ketika ini sementara menunggu kerajaan mampu menyediakan capaian internet yang lebih baik buat rakyat.

“Pendekatan melalui TV Pendidikan secara tidak langsung dapat menampung kekurangan atau kekangan sediada.

“Kalau kita tengok sebelum ni memang telah ada siaran TV Pendidikan cuma kita boleh menambahbaik lagi dari segi jadual yang sistematik, susunan subjek yang melibatkan guru-guru cemerlang dan lain-lain.

“Cara ini secara tidak langsung dapat mengoptimumkan penggunaan televisyen dan radio agar maklumat lebih meluas,” kata beliau ketika ditemubual dalam program Wacana Wanita Sejahtera: Dilema Guru, Ibu Bapa dan Murid, pada Sabtu lalu.

Kemeneterian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan slot Program TV Pendidikan akan disiarkan dalam program DidikTV@NTV7 mulai 27 Januari.

Difahamkan, ia merupakan salah satu usaha berterusan untuk menambah baik pendekatan kaedah PdPR dan memberi fokus kepada kandungan pendidikan membantu calon SPM tahun 2020 membuat persediaan sebelum menghadapi peperiksaan yang akan bermula pada 22 Februari 2021

KPM juga telah menambah lima jam waktu siaran di saluran yang sama pada hari Sabtu dan Ahad bermula dari jam 9 pagi hingga jam 12 tengah hari dan jam 3 petang hingga 5 petang

Penambahan slot ini menjadikan keseluruhan waktu siaran TV Pendidikan adalah sebanyak 11 jam setiap hari yang disiarkan di saluran TV Okey, Astro Tutor TV dan DidikTV@NTV7 – HARAKAHDAILY 29/1/2021

- Advertisement -