Tiga maut kemalangan dua lori

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori dan dua kelindannya maut apabila lori yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di depan sebuah stesen minyak di Jalan Kluang-Batu Pahat dekat Batu Pahat awal pagi tadi.

- Advertisement -

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shamin Mohamed Salikin berkata ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemalangan berlaku pada 6.28 pagi, melibatkan sebuah lori tiga tan membawa muatan peralatan bengkel dan treler bermuatan simen,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata pihaknya membantu mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa dan operasi ditamatkan pada 8.43 pagi.

Mereka yang maut dikenali sebagai Mohamad Azraai Mohamad Rizal, 24, iaitu pemandu serta dua kelindannya, Sadam Hussin Hamidon, 30, dan Deli Mustapha, 59. – BERNAMA

- Advertisement -