
KUALA LUMPUR: Bukan para pelajar sahaja yang merungut pembelajaran fizikal lebih kondusif, bahkan guru juga berpendapat bahawa pengajaran secara bersemuka lebih berkesan.
Guru Matematik, Sakinah Omar berkata, sekiranya diberi pilihan, beliau juga akan memilih untuk mengajar muridnya secara bersemuka yang menurutnya lebih selesa.
Kata Sakinah, pembelajaran secara atas talian ataupun PdPR sebenarnya tidak memberikan kepuasan kepada beliau ketika mengajar.
Bahkan, para guru terpaksa menerima bahawa tidak kesemua murid mampu untuk menghadiri kelas secara atas talian disebabkan pelbagai kekangan lain.
Jelas Sakinah, berdasarkan kajian Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hampir 60 peratus pelajar tidak hadir ketika sesi PdPr yang berkemungkinan ketiadaan atau kekurangan gajet, masalah fasiliti internet dan lain-lain.
Mengulas lanjut, kata Sakinah, masalah disiplin pelajar juga sukar untuk dibendung melalui PdPR.
Menurutnya, pengajaran secara fizikal atau bersemuka, guru boleh memantau gerak geri dan perkembangan murid ketika dalam kelas, namun sebaliknya berlaku apabila PdPR.
“Jika diberi pilihan, saya memilih untuk menghadiri kelas secara bersemuka kerana lebih selesa. Lagi pun bagi saya tidak ada rasa kepuasan apabila belajar melalui talian ini.
“Sukar untuk membendung masalah disiplin pelajar melalui PdPr. Kalau kelas bersemuka yang selalunya jumlah pelajar antara 20 hingga 40 orang, guru masih boleh memberi fokus samada memastikan mereka mencatat nota, tidak tidur, memberi tumpuan dan sebagainya.
“Tetapi melalui di atas talian ini, kita pun tidak tahu apa yang mereka lakukan disebalik dinding-dinding komputer riba atau gajet mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam program Wacana Wanita Sejahtera: Dilema Guru, Ibu Bapa dan Murid, pada Sabtu lalu.
Sejak permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, pelbagai usaha dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihak sekolah, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta masyarakat untuk menambah baik kualiti PdPR terutama di tempat yang mempunyai kekurangan.
Antara menambah baik program TV Pendidikan, pemberian 150,000 telefon pintar kepada murid kurang berkemampuan dan banyak lagi inisiatif lain.
Bagaimanapun, setakat ini tiada lagi solusi terbaik yang dapat menggantikan sistem pengajaran dan pembelajaran secara fizikal atau bersemuka – HARAKAHDAILY 29/1/2021











