
ALOR SETAR: Beberapa pejabat di Wisma Darul Aman akan ditutup bermula 31 Januari ini sehingga 3 Februari bagi operasi sanitasi.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penutupan itu untuk memberi laluan kerja-kerja sanitasi berikutan terdapat keluarga kakitangan pejabat itu yang positif Covid-19.
Katanya, Pejabat Menteri Besar pun tidak putus-putus dikunjungi orang ramai bagi menyelesaikan pelbagai urusan.
“Jadi bagi menjamin keselamatan dan keselesaan kakitangan dan orang ramai maka proses sanitasi akan dilaksanakan sepenuhnya,” ujar beliau di sini.
Walau bagaimanapun, katanya urusan pentadbiran di pejabat berkaitan dilaksanakan dari rumah dan di beberapa pejabat lain.
Begitu juga katanya Pejabat Menteri Besar akan mula beroperasi 3 Februari ini.
Sehubungan itu beliau mendoakan kakitangan yang didapati positif Covid-19 segera sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa nanti.
Kedah sebelum ini pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat, Bersasar dan Diperketatkan berikutan penularan wabak Covid-19 melalui beberapa kluster.
Malah daerah terletak Wisma Darul Aman juga pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan peningkatan kes positif daripada Kluster Sungai.
Sekarang Kedah sekali lagi dikenakan PKP memandangkan mencatat peningkatan kes positif Covid-19 agak tinggi kebelakangan ini. – HARAKAHDAILY 29/1/2021











