SKMM proaktif tangani masalah capaian Internet

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah turun padang dan mengambil pendekatan proaktif dalam menangani masalah capaian Internet yang dihadapi oleh para penduduk di beberapa buah lokasi di seluruh negara.

“Justeru, masalah capaian Internet yang berlaku di lapan lokasi seperti Kg. Banggol Pak Esah di Pasir Puteh dan Kg. Siram, Kedai Tanjong, di Pasir Mas; Kg. Aring 5 Gua Musang; Kg. Kaum Asli Kemidak, di Bekok, Segamat; Pulau Aman; Kg. Labi di Beaufort; Kg. Panikuan di Kudat serta Kg. Waluhu di Ranau, telah diberi perhatian serius dan disusuli dengan tindakan oleh SKMM,” ujar SKMM dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tindakan yang diambil oleh SKMM di Kg. Banggol Pak Esah, Pasir Puteh untuk penyelesaian jangka panjang di mana sebuah menara telekomunikasi di Kg. Batu Selinsing akan dinaik taraf kepada teknologi 4G di bawah Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA).

- Advertisement -

Di Kg. Siram, Kedai Tanjong, Pasir Mas, jelasnya berjaya diselesaikan selepas pihak TM telah memasang talian Unifi di rumah pengadu, di Kg Aring 5 Gua Musang pula untuk pelan jangka panjang akan dibina sebuah menara baharu di bawah projek JENDELA (PPS).

Tambahnya, bagi sekumpulan pelajar sekolah dan mahasiswa di Kg. Kaum Asli Kemidak, Bekok, Segamat yang terpaksa mengikuti pembelajaran dalam talian di kebun sawit pula, masalah capaian Internet lemah bakal diatasi apabila sebuah menara telekomunikasi baharu akan dibina di kawasan terbabit.

“Menara telekomunikasi baharu berkenaan akan dilaksanakan di bawah Pelan JENDELA Fasa 1 yang kini dalam proses tender. Untuk jangka masa pendek pendekatan penggunaan teknologi lain sedang diperincikan,” ujarnya.

Menurutnya, mengenai kisah sebahagian para pelajar sekolah yang terpaksa merayau sekitar pulau untuk mendapatkan capaian Internet di Pulau Aman telah diambil tindakan.

Katanya, kebagai langkah sementara, pihak Celcom telah mengalihkan satu sektor antena di menara telekomunikasi Bukit Batu Kawan untuk menghala ke kawasan aduan bagi meningkatkan kualiti liputan di sana.

Bagi masalah capaian Internet di Kg. Labi, Beaufort pula, jelasnya bakal diatasi apabila sebuah menara baharu akan dibina di Kg. Sungkadan dan pembinaan menara ini akan dilaksanakan di bawah pelan JENDELA.

Dalam pada itu, para penduduk di Kg. Panikuan, Kudat akan turut menikmati perkhidmatan 4G setelah menara PPS di kampung tersebut siap dan beroperasi di mana kerja-kerja pemasangan peralatan radio sedang dijalankan oleh pihak U Mobile.

“Bagi seorang ibu dan tiga orang anak yang menghadapi kesukaran mendapatkan capaian Internet, mereka telah dimaklumkan untuk memanfaatkan kemudahan Pusat Internet Komuniti (PIK) Kg. Lawa, Kabajang yang hanya terletak kurang daripada 1.67 kilometer dari Kg. Labi,” ujar SKMM lagi.

Tambahnya, kisah sekumpulan pelajar di Kampung Waluhu, Ranau yang terpaksa meredah hutan dan berdepan risiko binatang buas semata-mata untuk mendapatkan capaian Internet tidak terlepas daripada perhatian SKMM.

Untuk itu, katanya sebuah menara baharu akan dibina di Kg. Singgaron Baru di bawah perancangan JENDELA di lokasi yang bersesuaian bagi memberikan liputan lebih baik.

“Ini adalah langkah-langkah pihak SKMM untuk membantu dengan secepat mungkin kawasan yang terkesan selain daripada mempercepatkan perancangan yang sedia ada agar penduduk setempat dapat melaksanakan aktiviti seharian mereka dengan lancar,” jelas kenyataan itu lagi. – HARAKAHDAILY 29/1/2021

- Advertisement -