Industri agrikomoditi perlu laksana SOP KPPK, MKN

- Advertisement -

KUALA KUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengingatkan para pemain industri agrikomoditi supaya memastikan pelaksanaan semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh KPPK dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan lebih tegas bagi membendung penularan wabak itu di ladang dan kilang.

Ia berikutan berlakunya peningkatan kes baharu jangkitan Covid-19 pada masa ini terutamanya yang berpunca dari kluster di tempat kerja.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, KPPK mengambil maklum laporan media Isnin lalu berkaitan keputusan Kerajaan Negeri Sabah tidak akan menutup ladang-ladang sawit di negeri itu.

- Advertisement -

Namun, sebaliknya mengarahkan syarikat perladangan melakukan ujian saringan ke atas semua pekerja dalam tempoh 30 hari.

“Prosedur itu membabitkan seramai 153,250 pekerja dari 1,160 estet dan dan 33,034 ladang pekebun kecil bermula semalam (Isnin).

“(Justeru) Kementerian mengalu-alukan langkah kerajaan negeri ini,” katanya dalan satu kenyataan, semalam.

Sehubungan itu, Khairuddin berkata majikan perlu memastikan pekerja sentiasa mengikut SOP yang telah ditetapkan.

“Antaranya seperti mengehadkan bilangan pekerja ke ladang dan kilang serta memastikan mereka tidak berkumpul di ruang sempit selain mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dipatuhi pada setiap masa.

“Bukan sekadar itu, majikan juga perlu mengingatkan pekerja masing-masing supaya sentiasa mematuhi semua SOP dan peraturan yang ditetapkan setelah pulang bekerja bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat pula,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Selain itu, beliau juga mengingatkan para majikan supaya mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446).

Jelasnya, pematuhan kepada akta ini adalah selaras dengan Inisiatif Keempat Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) iaitu Memperkukuh Saringan Kesihatan Pekerja.

“Pematuhan kepada Akta 446 adalah amat penting bagi memastikan pekerja mempunyai tempat kediaman yang bersih dan kondusif serta mengelakkan kesesakan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19,” ujarnya.

Lantaran itu, Khairuddin berkata bagi memastikan semua SOP dipatuhi sepenuhnya, majikan sektor itu perlu merujuk kepada SOP Sektor Agrikomoditi yang telah disediakan dan dikemaskini oleh KPPK dari semasa ke semasa.

Katanya, SOP Sektor Agrikomoditi yang telah dikemaskini dan diwartakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan pada 15 Januari 2021 boleh dirujuk di laman web KPPK melalui pautan https://www.mpic.gov.my/mpi/pkp/pkp-2-0.

Sebarang pertanyaan berhubung SOP tersebut boleh dikemukakan kepada KPPK melalui talian hotline 03-88803498 pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang atau emel [email protected].

“KPPK berharap pematuhan SOP yang lebih ketat dan tegas oleh majikan akan dapat menurunkan bilangan kes Covid-19, sekali gus mampu meredakan kebimbangan rakyat dan memulihkan ekonomi negara dengan segera,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/1/2021

- Advertisement -