Masjid Turki tidak tutup?

- Advertisement -

SEGELINTIR pihak cuba mempertikaikan keputusan oleh Majlis Fatwa dan Majlis Agama negeri-negeri yang menghadkan bilangan jamaah untuk solat fardu dan juga solat Jumaat. Begitu juga dengan penjarakan saf solat yang dipertikaikan oleh mereka mengatakan bahawa ianya tidak mengikuti sunnah Nabi S.A.W.

Kita perlu faham bahawa apa yang dikemukakan oleh Majlis Fatwa dan juga pihak berkuasa agama negeri bukan dibuat oleh individu. Tetapi ianya adalah ijtihad yang telah dilakukan oleh para alim ulamak setelah mendapat pandangan pakar perubatan dan pandangan daripada kitab-kitab yang muktabar serta ulamak-ulamak seluruh dunia.

Hasil dari pandemik COVID-19 yang kita hadapi sekarang ini seluruh dunia, ulamak bersepakat secara majoritinya termasuklah ulamak-ulamak Al-Azhar dan juga Ulamak Arab Saudi. Mereka juga menggunakan ijtihad yang sama dengan mengadakan penjarakan fizikal dan juga menghadkan bilangan jamaah di dalam Masjidil Al Azhar, Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram. Adakah sanggup kita main menuduh mereka ini mengikuti arahan Dajal?

- Advertisement -

Ada pihak yang cuba memetik ucapan Presiden Turki, Racep Tayyib Erdogan yang mengatakan bahawa: ‘menutup masjid itu lebih bahaya dari COVID-19 dan sesiapa yang meninggalkan masjid akan tercabut imannya kerana mengikuti Dajal’. Adakah benar Presiden Turki tersebut mengucapkan demikian dan cuba memperlekehkan ijtihad yang telah dilakukan oleh para alim ulamak serta badan berautoriti seluruh dunia? Seolah-olah apa yang difatwakan para Mufti dan para ulamak itu mengikuti Dajal?

Percayalah bahawa apa yang telah diputuskan oleh badan berautoriti itu juga berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah Nabi S.A.W.

Di awal pandemik COVID-19 tahun 2020 lalu mendapati bahawa Turki pun mengikut apa yang diputuskan oleh para alim ulamak mereka. Kerajaan Turki juga menghadkan bilangan jamaah dan menutup masjid-masjid untuk solat Jumaat bagi mengekang COVID-19 ini merebak dalam masyarakat. 

Ijtihad alim ulamak itu adalah juga bergantung kepada waqi atau situasi semasa di dalam negara masing-masing. Mungkin setelah dilihat bahawa jumlah COVID-19 pada gelombang pertama dan kedua sudah agak reda, masjid-masjid dalam negara kita juga telah membenarkan ahli kariah hadir dalam jumlah yang agak ramai. Namun apabila timbul balik gelombang yang ketiga, kerajaan sekali lagi mengambil langkah untuk menghadkan bilangan jamaah solat Jumaat dan solat fardu. Keputusan itu pun dibuat setelah berbincang dengan para alim ulamak untuk menetapkan kaedah bagaimana memutuskan rantaian COVID-19 termasuk menghadkan bilangan ahli jamaah di mana masjid-masjid seluruh negara. Inilah ijtihad oleh mereka sebagai badan berautoriti.

Bayangkan apa yang sedang berlaku dalam dunia sekarang ini. Pandemik COVID-19 sudah mengganas sehingga mencecah kepada jutaan nyawa yang melayang. Contohnya di Turki sekarang ini jumlah kematian adalah 24,900 orang. Manakala kes positif COVID-19 seramai 2.4 juta. Jika dibandingkan dalam negara kita, kes mencecah 160,000 dengan kematian lebih daripada 600 orang. 

Pertimbangan di antara nyawa dan kehidupan yang dihadapi oleh masyarakat seluruh dunia begitu juga berlaku di Turki dan negara kita. Jika tidak mengadakan apa-apa sekatan terhadap pergerakan rakyat, adakah kita sanggup untuk menghadapi jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 1.3 juta orang dan kematian sebanyak 15,000?

Perbandingan dan pertimbangan dengan negara Turki inilah perlu dijelaskan dan difahami oleh kita semua. Kita tak nak berlaku dalam negara kita seperti dalam negara-negara yang mungkin memperjuangkan kebebasan bersuara dan kebebasan bergerak. Tetapi apa yang berlaku dalam negara mereka? Jumlah kes positif dan kematian begitu meningkat sekali sehingga di luar kawalan pihak berkuasa.

Ya benar di antara nyawa dan kehidupan yang perlu diteruskan untuk menyara kehidupan itu perlu diimbangkan dengan sebaiknya. Insya-Allah dengan segala usaha yang telah dan akan dilakukan oleh kerajaan dengan pelbagai insentif dan juga pelbagai peraturan yang digunakan itu boleh membantu rakyat kita supaya semakin melandaikan keluk wabak ini. Setiap nyawa adalah lebih penting buat masa ini. Jika nyawa rakyat melayang, produktiviti negara juga akan merudum. Semoga masyarakat faham apa yang dijalankan. Fikir-fikirlah bersama.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 25/1/2021

Rujukan:
(1) Zainal Ishaq. Benarkah Erdogan Tak Akan Tutup Masjid di Turki Selama Pandemi Corona? Cetak Fakta, Tempo. April 7, 2020.
(2) Ihsan gambar dari Dr Zekry di Masjid Hagia Sofia minggu lepas. Beliau berada di Istanbul menjalani latihan siswazah.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -