Ubat mesti dilupuskan ikut piawaian

MENCECAH sehingga 50 tan sebulan! Begitulah banyaknya barangan farmaseutikal yang dihantar kepada Kualiti Alam Sdn Bhd setiap bulan untuk dilupuskan.

Barangan farmaseutikal termasuk ubat-ubatan, picagari, beg darah dan tiub serta beg air kencing itu diterima daripada syarikat farmaseutikal dan hospital swasta malah klinik dan fasiliti kesihatan kerajaan (sekiranya ada permintaan khusus) dari seluruh Malaysia.

Dilupuskan atas pelbagai faktor termasuklah ubatan tamat tempoh, nyata ia masih mempunyai kaitan rapat dengan sikap masyarakat yang tidak patuh dalam pengambilan ubat seperti mana ditetapkan oleh doktor serta pegawai farmasi bertauliah. 

Advertisement

Apa yang masyarakat perlu tahu, jumlah 50 tan sebulan itu belum lagi termasuk perilaku tidak bertanggungjawab pesakit yang dengan sewenang-wenangnya membuang ubat ke dalam saluran sinki atau tandas. 

Malah lebih teruk lagi kalau mencampakkannya ke dalam tong sampah atau tempat pembuangan sampah terbuka!

Sikap sedemikian jelas membuktikan ada anggota masyarakat di negara ini yang masih belum cakna bahawa loji kumbahan tidak berupaya merawat sisa kimia dalam air kumbahan.

Dan bayangkan, perilaku yang berulang-ulang ini selama bertahun lamanya, mampu menyebabkan pencemaran sistem pengairan malah memburukkan keadaan, sisa ubat-ubatan yang mengandungi bahan kimia larut air boleh memasuki sistem pengairan dan seterusnya membahayakan hidupan akuatik.

Lupus sisa secara sistematik

Pengarah Urusan Kumpulan Cenviro Sdn Bhd, syarikat induk Kualiti Alam Sdn Bhd, Dr. Johari Jalil menegaskan atas faktor keselamatan, semua barangan yang terhasil daripada penyediaan dan pengeluaran barangan farmaseutikal perlu dilupuskan dengan cara sistematik dan selamat.

“Sisa ini tergolong dalam Kod SW 405 (Buangan yang terhasil daripada penyediaan dan pengeluaran barangan farmaseutikal) dan perlu dilupuskan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Sebab itu, kaedah pelupusan yang dilakukan sangat teliti bagi memastikan barangan farmaseutikal seperti ubat yang tamat tempoh atau rosak, tidak dapat kembali ke dalam masyarakat dan disalahgunakan,”katanya pada Bernama

Cenviro Sdn Bhd mengendalikan Pusat Pengurusan Sisa di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Dalam temubual eksklusif itu juga, Johari menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ini bermula dengan pihak farmaseutikal, klinik dan hospital tertakluk kepada peraturan dan jadual pengutipan sisa klinikal termasuk ubatan tamat tempoh yang ditetapkan iaitu jumlah pengumpulan sisa buangan tidak melebihi 20 tan atau 180 hari. 

Ini, jelasnya, adalah peraturan am yang perlu dipatuhi oleh semua pihak pengeluar sisa terjadual dan sekiranya pihak pengeluar gagal mematuhi tempoh yang ditetapkan atau memaklumkan kepada pihak pengurusan sisa buangan terjadual untuk mengutip sisa tersebut, mereka boleh didenda oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Bukan sahaja tertakluk kepada jadual kutipan yang teratur, proses penghantaran sisa klinikal ubat-ubatan ke pusat pengurusan sisa Kualiti Alam juga perlu menggunakan lori khas yang ditetapkan oleh pihak kami mengikut ketetapan dan piawaian JAS. 

“Kenderaan ini turut dilengkapi dengan Sistem Penentududukan Global (GPS) bagi memastikan perjalanan lori tersebut tidak terpesong memandangkan ia membawa muatan bahaya,” katanya.

Insenerator ‘lebur’ 99.9 peratus sisa buangan

Menjelaskan lebih lanjut mengenai proses pelupusan, Timbalan Pengurus Besar Operasi Kualiti Alam Sdn Bhd, Mohd Rizal Zambros berkata, teknik terbaik yang digunapakai ketika ini adalah kaedah penunuan (pembakaran) berteknologi tinggi iaitu insinerator.

Menurut Mohd Rizal, tanur atau relau berputar digunakan sebagai ruang pembakar utama dengan suhu sehingga 1,000 darjah celcius untuk memastikan sisa yang dimusnahkan dileburkan sebaik mungkin.

Proses ini diikuti oleh sistem pemulihan haba dan rawatan gas yang terlepas sepanjang proses dilakukan. 

Relau yang menggunakan sistem berkomputer sepenuhnya dan dilengkapi dengan sistem pemantauan berterusan tersebut direka untuk memastikan sisa pepejal atau klinikal musnah sehingga 99.9 peratus serta gas yang terhasil, disingkir dengan cekap dan sekali gus mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014. 

Memandangkan proses pengasingan ubat mengikut sediaan seperti krim, pil atau cecair dilakukan lebih awal (oleh pengeluar), sisa pepejal atau klinikal yang dibungkus rapi akan terus dimasukkan ke dalam tong khas sebelum dibakar di dalam loji insinerator.

“Kita bakar terus memandangkan sisa klinikal dari hospital, klinik, atau syarikat farmaseutikal ini tidak banyak bertukar dan kandungan stabil. Tidak bahaya atau meletup ketika dileburkan pada suhu yang digunakan iaitu antara 1,000 hingga 1,200 darjah celcius,” jelasnya. 

Bercerita lanjut, selain dari sisa klinikal, Mohd Rizal berkata, pusat pengurusan sisa Kualiti Alam berkemampuan mengendalikan 76 daripada 77 kod sisa bahan terjadual yang ditetapkan oleh JAS. 

Justeru, seandainya pihak Kualiti Alam dipertanggungjawab melupuskan botol bekas cecair vaksin COVID-19 sekiranya digunakan secara meluas menjelang tahun hadapan sebagai langkah pencegahan wabak tersebut di negara ini, Mohd Rizal berkeyakinan fasiliti yang ada mampu menguruskannya.

“Fasiliti yang terdapat di sini mampu ‘merawat dan melupuskan’ hasil sisa buangan industri yang wujud dari pelbagai jenis kecuali sisa radioaktif, nuklear dan bahan letupan. 

“Ini kerana reka bentuk pusat ini direka mengikut standard Kesatuan Eropah malah jika terdapat perubahan pada dasar kerajaan pada masa hadapan pun, kita yakin masih dapat menepati standard baharu tersebut,” katanya. – BERNAMA