Kembalinya Liberal World Order

- Advertisement -

TERKINI Joe Biden baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-46. Beliau jelas akan mengembalikan ‘Liberal World Order’ dengan Amerika mengetuai semula pakatan Barat seperti NATO yang diabaikan di bawah Trump. Apakah baik-buruk pelantikan Biden ini kepada ekonomi, pasaran saham, perdagangan, Laut China Selatan, dan Dunia Islam?

Pastinya peristiwa ini bakal memberi impak besar dalam arena politik dan ekonomi Antarabangsa kerana Biden menjanjikan perubahan signifikan berbanding Presiden sebelum ini, Donald Trump.

Bagaimana Biden sebagai Presiden Amerika akan mengembalikan semula Liberal World Order? Jawapannya adalah dengan menstruktur kembali ekonomi politik Amerika sebagai ‘negara besar dan kuat’ (strong, maximal state); analisis manifesto ekonomi dan politik Biden memberi petunjuk jawapan kepada persoalan ini. 

- Advertisement -

Sebagaimana digariskan para sarjana, Amerika memerlukan sumber ekonomi yang besar bagi mewujudkan Liberal World Order yang stabil untuk menjamin kepentingan strategik dan sekutunya.

Sebagai contoh, Amerika dahulu memenangi Perang Dingin kerana sumbangan ekonominya kepada NATO dan Pelan Marshall di Eropah Barat jauh mengatasi keupayaan ekonomi blok Pakatan Warsaw pimpinan Kesatuan Soviet.

Fareed Zakaria dalam karya beliau ‘From Wealth to Power’ terbitan Princeton University Press memperincikan empat indikator negara kuat iaitu autonomi negara (state autonomy), skop tanggungjawab negara (state scope), keupayaan negara mengekstrak sumber (state’s ability to extract wealth), dan kesepaduan negara (state cohesion).

Ringkasnya, negara yang berautonomi tinggi, memiliki skop tanggungjawab yang luas, berkeinginan (dan mampu) mengekstrak sumber dalam skala besar, dan bersepadu adalah lebih kuat dan berkuasa. Jauh berbeza dengan negara yang berautonomi rendah, memiliki skop tanggungjawab sempit, tidak berkeinginan mengekstrak sumber dalam skala besar, dan tidak bersepadu.

Dari perspektif geopolitik dan geostrategi, keempat-empat komponen kuasa negara ini cukup penting untuk Biden mengembalikan semula Liberal World Order di mana Fareed Zakaria mengajukan bahawa ‘sesebuah negara hanya mampu untuk meluaskan kepentingan politik mereka ke luar negara apabila terdapat peningkatan relatif kuasa negaranya’.


Biden sejak sekian lama berikrar untuk mengembalikan dominasi Amerika dalam blok Barat iaitu NATO, memulihkan hubungan dengan Jerman dan Perancis, serta menyertai semula institusi Antarabangsa lain seperti UNESCO dan WHO. Aspirasi ini dicerminkan dalam manifesto dasar ekonomi domestik Biden yang menjanjikan stimulus fiskal dan keutamaan menaikkan cukai korporat. 

Antara perubahan yang beliau janjikan adalah menaikkan gaji minimum, menaikkan cukai korporat kepada sekitar 28 peratus, meluaskan skim insurans kesihatan awam, mengurangkan harga ubat dengan kemungkinan membenarkan ubat import, pemansuhan hutang pendidikan, menaikkan kredit cukai pusat penjagaan dan asuhan anak, serta pelaburan dalam teknologi tenaga hijau. 

Dengan rekod sebagai Naib Presiden ketika pentadbiran Barrack Obama, Biden turut menjanjikan dasar pertanian, perdagangan, dan pengangkutan yang hampir serupa seperti bekas ketua beliau itu yang antaranya termasuklah insentif ‘net-zero emissions’ dalam sektor pertanian, menggalakkan makanan tempatan, capaian jalur lebar di luar bandar, peningkatan eksport pertanian, serta pelan infrastruktur bernilai $1.3 trilion.

Pastinya kesemua data ini bakal dianalisis dengan mendalam dari semasa ke semasa oleh para pelabur saham serta pengurus kewangan bukan sahaja di AS, bahkan juga di negara kita. 

Realiti ini terbukti apabila ramai ‘sifu saham’ berkongsi panduan mengenai sektor-sektor yang dijangka menerima pulangan positif melalui perubahan dasar Biden nanti. Malah, ada laman sesawang yang sudah pun menyenaraikan saham-saham yang menerima manfaat di kemuncak Pilihan Raya Presiden AS antara Biden dan Trump sejak tahun 2020 yang lalu. 

Antara yang terus menjadi perhatian adalah impak kemenangan Biden ke atas syarikat-syarikat tenaga hijau serta mesra alam sekitar di samping impak kepada syarikat tenaga tradisi seperti Exxon dan Chevron untuk tempoh empat tahun mendatang. 

Namun begitu, manifesto Biden membayangkan kemungkinan trend kenaikan harga minyak seperti mana era Obama. Jika Obama dahulu lancarkan perang ke atas Syria dan Libya, Biden juga menunjukkan kecenderungan serupa di Asia Barat dengan menyokong Perang Iraq. Paling kritikal dalam dasar Biden nanti terhadap seteru utama AS di pentas Antarabangsa saat ini: China.

Meskipun Biden dahulu penyokong kuat Perjanjian TPPA yang kini dikenali sebagai CPTPP atau TPP-11 yang turut melibatkan negara kita, namun sentimen politik semasa di Amerika menyukarkan sebarang kemungkinan untuk Biden kembali menyertai TPP-11 selepas Trump menarik diri daripada perjanjian berkenaan.

Gambaran awal mengenai dasar Biden terhadap China di Laut China Selatan pula boleh dibaca bukan sahaja melalui ucapan beliau sendiri, bahkan juga melalui kenyataan serta pendirian beberapa individu kepercayaan beliau yang dijangka bakal dilantik dalam pentadbiran nanti.

Antara posisi lantikan Biden yang kritikal dalam mencorakkan hala tuju dasar ketenteraan beliau terhadap China kelak pastilah jawatan Setiausaha Pertahanan. Saat ini, beberapa nama sedang dipertimbangkan, termasuklah Michele Flournoy yang menerima sokongan kuat para penggubal Undang-undang Demokrat.

Flournoy terkenal dengan pendirian permusuhan terhadap China: dalam tulisan beliau di jurnal Foreign Affairs, beliau berpendirian bahawa AS seharusnya meningkatkan keupayaan untuk ‘menenggelamkan kesemua kapal tentera China di Laut China Selatan dalam tempoh 72 jam’.

Pendirian tegas Flourney ini turut dikongsi calon Setiausaha Negara Biden, iaitu Antony Blinken yang berpendirian bahawa AS sememangnya perlu mengenakan sekatan terhadap China susulan tingkah laku autoritariannya di Hong Kong.

Bakal Penasihat Keselamatan Nasional Biden pula iaitu Jake Sullivan turut secara terbuka menyeru supaya lebih banyak sumber diperuntukkan kepada pakatan ketenteraan AS bersama negara-negara sekutu yang lain di Laut China Selatan.

Kemuncaknya, Joe Biden sendiri mengulangi tiga perkara yang bakal beliau lakukan bersama-sama sekutu AS: ‘memberi tekanan, mengasingkan, dan menghukum China’.

Saat ini, kehadiran tentera AS di rantau Laut China Selatan – di bawah perhatian Philip Davidson, komander US Indo-Pacific Command – sememangnya menunjukkan pola peningkatan. Untuk tahun 2020 ini sahaja, di sebalik pandemik COVID-19, AS telah menjalankan lebih 83 latihan ketenteraan dengan 18 negara berbeza di Indo-Pasifik dengan slogan ‘Free and Open Indo-Pacific’.

Paling signifikan tentulah latihan Malabar yang baru sahaja tamat pada 20 November lalu yang melibatkan AS, India, dan Jepun, di mana dalam edisi ke-24 tahun ini ia telah turut disertai Australia – pertama kali sejak tahun 2007, sekali gus melengkapkan ‘Pakatan Quad’ yang diketuai AS.

Jika India ialah sekutu AS di Lautan Hindi, Jepun pula ialah sekutu AS di Laut China Timur, manakala Australia pula kini tampil sebagai sekutu kuat AS di Laut China Selatan.

Prospek Biden tambah menarik dengan kehadiran sekutu lama AS pada tahun ini, iaitu UK. Perdana Menteri Boris Johnson pada bulan lalu mengumumkan peruntukan tambahan 16.5 bilion Pound Sterling kepada tentera UK, terbesar sejak Perang Dingin.

Malah, tentera laut British dijangka akan mengerahkan kapal pengangkut pesawat terbaru mereka, HMS Queen Elizabeth yang kini diperkuatkan pesawat pejuang F-35 buatan AS ke wilayah Timur Jauh, termasuklah kemungkinan ke Laut China Selatan.

Selain itu, Setiausaha Tentera Laut AS iaitu Kenneth Braithwaite turut menyeru supaya Armada Pertama AS diaktifkan kembali selepas empat dekad ia dihentikan operasi. Untuk rekod, Armada Pertama ini beroperasi di wilayah Pasifik Barat khususnya Selat Melaka, Lautan Hindi, dan juga lautan Asia Tenggara, hingga Utara Australia.

Rancangan ini jelas sekali bertujuan untuk mengukuhkan kehadiran AS di Indo-Pasifik, khususnya di Laut China Selatan. Hal ini demikian kerana beban ini sekarang ditanggung Armada Ketujuh AS yang berpusat di Jepun – sekali gus mengurangkan konsentrasi kehadiran AS di kedua-dua Laut China Timur dan Laut China Selatan dalam keadaan China saban hari semakin meningkatkan cengkaman strategik mereka di wilayah ini secara serentak.

Berdasarkan ucapan para pegawai yang bakal dilantik dalam pentadbiran Biden, serta perkembangan negara-negara sekutu AS seperti Australia, UK, Jepun, dan India, kita boleh menjangka bahawa AS akan meneruskan dasar peningkatan kehadiran armada tentera mereka di Laut China Selatan; namun ia belum menjamin kemampuan AS untuk menewaskan China dalam tempoh 72 jam seperti mana yang diharapkan calon Setiausaha Pertahanan Biden.

Bagaimana pula dengan nasib Dunia Islam di bawah Biden nanti? Adakah akan ada pulangan positif atau dividen keamanan seperti mana impak kemenangan beliau dalam sektor saham yang tertentu?

Seperti mana analisis impak manifesto dasar Biden boleh memberi petunjuk naik turun sektor saham tertentu, begitu juga dengan manifesto dasar luar beliau boleh dikaji untuk mendapatkan jangkaan konflik, perang, dan keamanan di Dunia Islam.

Saat ini, terdapat beberapa negara yang menjadi fokus utama seluruh umat Islam iaitu Palestin, Yaman, Syria, dan juga Iran.

Dalam isu penjajahan Palestin, meskipun Biden berpendirian menolak usaha Zionis Israel untuk mengilhak wilayah Tebing Barat Palestin, beliau masih menyokong kuat rejim tersebut dengan menolak seruan badan yang dikenali sebagai ‘Boycott, Divestment, and Sanctions’ (BDS) kononnya atas dasar ‘anti-semitik’.

Malah, beliau juga secara terbuka menyokong tindakan negara-negara Arab yang menormalisasi hubungan diplomatik dengan rejim Zionis tersebut seperti UAE, Bahrain, Sudan, dan Maghribi.

Dalam isu Perang Yaman, Biden sejak sekian lama mengkritik campur tangan Arab Saudi di sana serta berjanji akan menarik balik sokongan AS terhadap perang tersebut. Secara khusus, Biden bahkan memberi isyarat untuk mempertimbangkan semula penjualan senjata kepada Arab Saudi, berbeza dengan Trump sebelum ini.

Namun begitu, disebabkan Perang Yaman ini adalah begitu rumit – melibatkan Arab Saudi dan sekutunya, UAE dan proksinya di Selatan, serta Houthi dengan Iran – maka tindakan Biden mengurangkan campur tangan AS di sana tidak akan dengan serta-merta menamatkan perang tersebut.

Malah, pendirian Biden mengklasifikasi Iran sebagai ‘negara penaja keganasan’ mengurangkan prospek positif bukan sahaja dalam Perang Yaman, bahkan juga untuk menstabilkan Syria kerana Tehran selaku sekutu kuat Basyar al-Assad kini semakin mengukuh cengkaman di sana.

Apa yang pasti, Presiden Biden bakal mengembalikan semula ‘Liberal World Order’ yang sekian lama dikritik ramai sarjana sebagai penyamaran hegemoni dan imperialisme Amerika. Maka kita di Malaysia perlu bijaksana mendepani perkembangan geopolitik dan geoekonomi ini. Sebagai umat Islam pula, wajib untuk kita terus mendoakan kebaikan ekonomi dan politik daripada Allah S.W.T, tanpa sekadar tunduk patuh kepada individu yang berkuasa di Rumah Putih.

ABDUL MUEIN ABADI
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda – HARAKAHDAILY 21/1/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -