Hindar budaya politik yang meresahkan rakyat

- Advertisement -

MOOD melibatkan faktor emosi dan hati. Mood bukan suatu yang boleh dipupuk melainkan ia trigger secara semulajadi berdasarkan persekitaran dan pengalaman semasa. Jika berbahas mood rakyat kita boleh mudah menilai melalui kupasan netizen yang mewakili hati nurani rakyat semasa.

Rakyat sejak pilihan raya umum (PRU) lalu hanya tenang beberapa minggu sahaja sebaliknya terus merasa jelak dan muak dengan politik apabila pemimpin dan parti sandaran mereka tidak membawa perubahan sebaliknya hanya memperbanyakkan polemik, pergaduhan sesama mereka, perubahan sosial yang melampau dan kenyataan yang mengguris perasaan sesama etnik.

- Advertisement -

Faktor mood dan perasaan rakyat juga amat dicermati oleh Perdana Menteri kita terkini. Misalnya beberapa kali beliau menyatakan pendirian tidak menumpu memikirkan soal politik kepartian sejak mula dilantik Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac tahun lalu serta mengelak daripada mengeluarkan kenyataan berbaur politik, kerana sedar rakyat telah lama muak dengan ‘cerita politik’, terutama yang menyentuh soal parti dan kuasa. Justeru, beliau terus menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang berdepan penularan wabak Covid-19 dan merangka pakej rangsangan untuk memastikan ekonomi negara terus stabil.

Raja kita adalah payung rakyat. Ternyata raja mengetahui segala sudut keadaan rakyat. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga menyatakan rasa dukacita baginda dengan sikap kebanyakan ahli-ahli politik. Melalui Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, baginda tahu keresahan rakyat dan sedar rakyat telah mula bosan dan meluat dengan segala tindak-tanduk ahli politik yang sentiasa bercakaran serta bertelingkah dalam merebut kuasa pemerintahan negara.

Faktor mood yang jelak politik bukan menunjukkan rakyat kita menjadi zombie anarki yang memusuhi feudal, memusuhi establishment atau anti peraturan. Mereka patuh peraturan, masih membayar cukai, saman dan mamatuhi peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya. Mereka muak kepada soal parti, siapa kawan dengan siapa, siapa nak jadi perdana menteri dan sewaktu dengannya. Kekecewaan mereka dengan prestasi PH dan banyak krisis berbanding penyelesaian. Hal ini disebabkan:

  • Kekecewaan apabila Tun Mahathir yang dianggap simbol penyatu dalam PH tetapi disanggah sendiri oleh politikus kerajaan PH sehingga mendesak beliau sehingga terpaksa meletak jawatan dan berhasillah peralihan kuasa.
  • Wabak Covid-19 yang belum malap dan semakin membuak yang mengubah gaya hidup yang menekan emosi rakyat.
  • Trauma pasca banjir, kehilangan, kerugian dan sebagainya cukup membebankan rakyat.
  • Penurunan prestasi ekonomi isi rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya.
  • Segala angan-angan politik, manifesto dan janji pilihan raya rupanya tidak semudah memetik jari dan peratusan rakyat skeptikal dengan kertas yang bernama manifesto sedang meningkat.

Rakyat tolak pilihan raya

Jika ditanya rakyat dari kedai kopi ke kedai kopi, salun rambut ke salun rambut, pasar malam ke pasar malam adakah mereka mahukan pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat atau hanya angan-angan pemimpin politik, pasti majoriti akan menolak PRU dengan pelbagai alasan yang masuk akal. Cubalah buat servey bagi badan-badan bebas yang sedia ada. Jangan hanya buat melalui talian sahaja. Idea PRU dalam keadaan wabak dan ekonomi yang teruk ini adalah idea yang amat berisiko, buruk dan tidak memahami keperitan rakyat. Fasa pemulihan kini menjadi fasa PKP semula iaitu bermula 22 Januari semua negeri selain Sarawak akan ‘berPKP’ semula. Adakah ini graf pemulihan yang baik? Jika pun vaksin akan mulai sampai Februari, pelalian akan diberi dua kali dan hanya beberapa peratus sahaja rakyat akan akan divaksi dalam fasa permulaan. Kesan kepada ekonomi masih jauh dari kejayaan. Domino ini mengambil masa agak panjang untuk pulih.

Penulis petik beberapa badan yang mewakili rakyat non-partisan:
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengeluar kenyataan menolak sebarang cadangan pilihan raya umum secara mengejut (snap election) malah disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab kepada rakyat. Menurut ABIM ia jelas selepas peningkatan mendadak jumlah kes serta kluster baharu ekoran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang cukup menggambarkan kesan buruk menimpa rakyat yang menyebabkan berlakunya sentimen kebencian rakyat terhadap pemimpin politik yang suka bertelagah di saat wabak memuncak.

Ahli Parlimen Rembau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi , Khairy Jamaluddin yang mewakili parti yang membentuk kerajaan PN menyatakan berdasarkan data-data jangkitan (Covid-19) dan sebagainya, beliau sedar sekiranya diadakan pilihan raya umum, ianya akan menyebabkan risiko yang tinggi kepada kesihatan awam.

Budaya pragmatik politikus perlu dikurang

Penulis bersetuju dengan pandangan beberapa penulis media yang membahagikana rakyat kepada dua bahagi. Rakyat jelata atau rakyat terbanyak yang tiada berkepentingan dengan rakyat borjuis politik yang memiliki kuasa dan nama. Rakyat sebenarnya kini tidak mudah dimanipulasi dengan jualangan slogan demi rakyat, untuk rakyat, kuasa rakyat dan kepentingan rakyat. Rakyat tidak tertarik dengan terma dan klausa lagi. Mereka menantikan lanjutan tindakan dari susuk politikus dan pemimpin yang sedia ada.

Pragmatisme yang masih tiada kunjung malap menyebbakan masih ada ahli politik yang cuba mengkucarkacirkan keamanan yang sudah sedia ada. Di pihak pembangkang, semasa memerintah 22 bulan bercakaran hingga terjatuh kerajaan sendiri. PM sendiri terpaksa meletak jawatan. Kini dari pihak kerajaan pula rakyat mengintai masih adakah virus yang akan merosakkan kerajaan PN yang dilihat mula ‘memberi muka’ serta mengutamakan kepada mereka.

Politik atau siasah tanpa terikat kemas dengan ideologi yang jelas adalah politik pragmatisme. Walaupun parti memiliki ideologi perjuangan tetapi jika pemimpin berideologi pragmatik ia akan membawa kepada kesan dalam sesuatu pasukan politik. Pragmatik memang ada kebaikan bagi rakyat apabila sesuatu gerakan politik mengubah cara berpolitik demi memberi keutamaan dan keselesaan kepada rakyat. Tetapi jika pragmatik itu tujuan untuk diri sendiri dan mula mengenepikan rakyat maka ia jelas akan merobohkan dan bukannya membangunkan.

Buat masa kini matlamat kesatuan Melayu Islam adalah matlamat besar merentasi matlamat peribadi parti politik yang mendukung kerajaan. Maka seharusnya agenda memperkasa matlamat ini diutamakan termasuk mengekalkan kerajaan PN yang mengutamakan kesatuan Melayu Islam, menjaga agama, sistem beraja, perlembagaan, keharmonian kaum dan kebajikan rakyat terbanyak.

Menjunjung kepekaan Agong

Sebelum pengisytiharan darurat terkini, permohonan darurat pernah ditolak oleh Raja-raja Melayu berdasarkan keyakinan Raja-Raja Melayu terhadap prestasi pentadbiran kerajaan PN. Rata-rata pemimpin kerajaan dan sebahagaian pembangkang menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kebijaksanaan Raja-raja Melayu yang telah bersidang sebelum mengambil keputusan untuk tidak mengisytiharkan darurat di negara ini. Yang di-Pertuan Agong turut menyatakan keyakinannya dengan keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 daripada terus merebak.

Pemimpin-permimpin kerajaan dan sebahagian pembangkang juga bersetuju untuk tidak berpoliticking berlebihan sebaliknya menumpukan perhatian kepada Covid -19 dan kesusahan rakyat. Semasa ada usaha pembangkang untuk menggagalkan bajet, pada 28 Oktober, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi menasihatkan ahli politik agar menghentikan segala perbalahan politik dan pembentangan Belanjawan 2021 diluluskan tanpa ada gangguan mana-mana pihak demi rakyat.

Penulis senaraikan sebahagian pihak-pihak yang menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan disiar melalui media semasa:
• Gabungan Parti Sarawak (GPS)
• Umno
• Kerajaan Pahang
• Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang boleh dianggap mewakili PAS
• Parti Warisan Sabah (Warisan)
• Parti Amanah Negara (Amanah)

Secara umum kita melihat jelas banyak pihak akur untuk menghentikan politiking, usaha menggagalkan bajet atau desakan politik untuk menukar kerajaan dalam masa Covid-19 dan ekonomi yang masih teruk.

Jadi dari mana datangnya desakan untuk berpilihan raya sehingga Perdana Menteri terpaksa memohon sekali lagi pengisytiharaan darurat agar kerajaan stabil untuk melaksana tugas untuk negara dan kebajikan rakyat yang belum selesai?

Pentingnya stabil

Stabil politik dan sosial adalah penting untuk menangani kesan wabak Covid-19, kesan akibat banjir beberapa negeri timur dan selatan tanah air serta dampak ekonomi. Selepas akur dengan titih Yang di-Pertuan Agong pada Oktober yang lalu, terjadi juga beberapa keadaan yang menunjukkan ketidakstabilan politik. Kerajaan PN memang tidak kuat kerana tidak memiliki/majoriti pun. Kerajaan ini boleh tumbang jika masih ada MP yang berniat menukar nakhoda negara. Semasa tulisan ini ditulis telah ada dua MP pro-kerajaan yang telah menarik sokongan terhadap PN. Pilihan raya adalah jalan terbaik untuk membentuk semula kerajaan yang stabil dan absah pilihan rakyat.

Persoalannya, sesuaikan sekarang berpilihan raya? Siasah pilihan raya adalah asas kestabilan dan kestabilan perlu untuk tangani Covid-19, banjir dan ekonomi seperti yang dinyatakan di atas. Asasnya pilihan raya. Tetapi ia tidak sesuai dilaksanakan sekarang.

Atas logik penerusan menyelesai masalah rakyat, memastikan bajet tersalur kepada rakyat dengan lancar dan menarik pelabur luar, maka proklamasi darurat adalah satu keperluan.

Kerajaan sejak Mac telah menggunakan peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 324). Namun ada kekangannya berbanding peruntukan di bawah Ordinan Darurat.
i) Kerajaan tidak perlu berlengah dalam membuat perkiraan dengan pihak swasta untuk menggunakan premis perubatan swasta serta sumber, utiliti dan aset. Kerajaan ada kuasa lebih dalam berurusan dengan pihak swasta.

ii) Penguatkuasaan peraturan berkenaan kawalan penularan pandemik boleh disegerakan tanpa urusan briokrasi dan peraturan yang menyukarkan.

iii) Darurat tertakluk dengan Yang di-Pertuan Agong dan baginda payung bagi semua parti politik. Yang di-Pertuan Agong juga memperoleh pandangan yang menyeluruh daripada semua pihak dan bebas daripada pengaruh politik kerana Jawatankuasa Khas Bebas ditubuhkan di bawah Seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dan keahliannya boleh terdiri daripada anggota parti-parti kerajaan, pembangkang dan profesional.

iv) Kerajaan mampu mengambil secara sementara tanah, bangunan atau apa-apa bentuk harta alih daripada mana-mana pihak dan menggunakannya untuk tujuan yang bersesuaian dalam memerangi Covid-19.

iv) Kerajaan boleh dengan mudah mendapat kerjasama kerana semua pihak perlu mematuhi arahan apabila diminta oleh Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana pihak yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan sumber seperti sumber manusia, kemudahan, utiliti dan aset berkaitan dengannya.

vi) Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) tidak akan bersidang semasa tempoh darurat. Hal ini amat tidak disukai pembangkang kerana tidak berupaya berpolemik, berpolitik serta tidak mampu membangkang. Realitinya semasa berkuasa mereka antara pemonteng sidang yang unggul hingga beralasan tidak hadir kerana parlimen sejuk.
vii) Malah tiada pilihan raya umum, negeri atau pilihan raya kecil dibenarkan sepanjang tempoh darurat. Bagi pihak yang mula berkempen agar disegerakan PRU baru-baru ini, ordinan ini tidak disukai mereka.

Politikus bersabarlah. Rakyat mula lihat tanpa MP pun negara boleh lancar. Misalnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Grik ditangguh akibat ancaman Covid-19 dan kawasan itu tiada wakil rakyat namun kebajikan rakyat berjalan seperti biasa kerana kerajaan kita bukan berpaksi kepada MP dan Adun semata-mata. Misalnya selepas kekosongan Batu Sapi, dalam tempoh 60 hari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil tindakan untuk isi kekosongan itu kecuali jika kerajaan isytihar kawasan itu sebagai darurat. Yang di-Pertuan Agong telah mengisytihar darurat bagi kawasan Batu Sapi dan tiada PRK berlaku. Jadi, darurat telah berjaya mengelakkan PRK yang berisiko wabak, membuang wang serta menambahkan keresahan rakyat. Demikian Darurat 2021 mampu memberi keselesaan kepada rakyat.
Kestabilan politik adalah amat penting dalam merencanakan perancangan ekonomi negara. Tahun 2021 merupakan permulaan Rancangan Malaysia ke-12 yang amat penting untuk menjadi tapak permulaan rancangan ekonomi Malaysia dalam jangka masa lima tahun akan datang.

Situasi sekarang rakyat bukannya manja. Misalnya menurut pandangan Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, beberapa perkara perlu diteruskan mungkin hingga ke tahun hadapan 2022 kerana pemulihan ekonomi rakyat, PKS, industri yang terjejas teruk. Menurut beliau:

  1. Keutamaan terhadap suntikan fiskal ke dalam ekonomi domestik terutamanya suntikan fiskal langsung kepada individu, isi rumah dan peniaga wajar diteruskan.
  2. Dana untuk pinjaman perniagaan harus ditambah dan proses permohonan untuk mendapatkan pinjaman tersebut juga perlu dipermudahkan dan bersasar kepada perusahaan mikro serta perusahaan kecil sederhana (PKS) terutamanya dalam kalangan peniaga bumiputera. PKS adalah sektor yang penting ia merupakan sumber pendapatan rakyat, peluang pekerjaan serta menghasilkan eksport negara.
  3. Selain itu, moratorium wajar dilanjutkan tetapi bersasar kepada yang amat memerlukannya sahaja. Bagi yang gajinya berjalan tidak perlu diberi kemudahan ini.
  4. Pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga harus dirombak dengan melantik golongan profesional yang benar-benar layak sahaja.
  5. Industri baharu seperti IR4.0 dan ekonomi digital juga beri keutamaan di samping meningkatkan penguasaan Malaysia di dalam hab halal global.
  6. Golongan peniaga dan industri juga mengharapkan dasar dan polisi bantuan kepada perniagaan harus diteruskan pada tahun hadapan (2022) kerana negara kita masih belum benar-benar pulih daripada kemelut ekonomi yang melanda pada masa kini.

Kesemua hal di atas hanya mampu difikir, digarap, disusun dan dilaksana oleh kerajaan yang aman, stabil dan terhindar dari politiking yang tidak berkesudahan. Ordinan darurat adalah solusi tepat yang tersedia melalui Perlembagaan Persekutuan. Ia juga menghindarkan budaya politik yang meresahkan rakyat terbanyak. – HARAKAHDAILY 21/1/2021

- Advertisement -