‘Polis pergi jumpa orang kampung’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Polis Kelantan mencadangkan agar Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bekerjasama dengan Urusetia Belia dan Sukan (Ubes) bagi membangunkan peranan belia.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Polis (DCP) Dato’ Shafien Mamat berkata, cadangan itu dapat diterjemahkan dalam penyertaan golongan itu dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS).

- Advertisement -

Sebagai salah satu anggota dalam masyarakat, kata beliau lagi, peranan belia perlu diperkasakan dan dilibatkan untuk berperanan sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa.

“Kalau pergi ke kampung ada SRS ini diwakili oleh penduduk kampung, cuma adalah pergi lihat dua tiga tempat SRS ini dilaksanakan, tetapi ahli dia bukan dari golongan belia.

“Jadi saya hendak ubah senario ini, saya mahu golongan belia ini menjadi benteng utama dalam komuniti, jadi saya rasa mungkin dua agensi kerajaan ini boleh kolaborasi,” katanya pada rancangan Bicarawara Kelantankini bertajuk Sang Saka Biru bersama beliau di sini, pagi tadi.

Menurutnya, tujuan utama penubuhan skim yang dilancarkan pada April 2004 itu, bagi membantu pihak polis membendung kegiatan jenayah dan gejala sosial dalam kalangan komuniti setempat.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi mengeratkan hubungan polis dengan masyarakat, setiap anggota termasuk Ketua Polis Daerah dan Ketua Balai digalakkan untuk tidak berada di pejabat.

“Sebab itu saya arahkan kepada semua anggota di bawah saya supaya mereka ini turun ke bawah untuk berjumpa dengan orang kampung, jangan tunggu orang mari jumpa kita.

“Orang kampung hendak pergi payah nak tinggal kerja, dia payah dengan kerja dia, kita sebagai polis ini kita pergi jumpa orang kampung untuk mereka salurkan maklumat kepada kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2021

- Advertisement -