Pantau harga barang sepanjang Darurat – Prof Anuar Bali

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penambahbaikan Program Subsidi Upah 3.0 (PSU 3.0) yang diumumkan Perdana Menteri di dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) dapat membantu para peniaga kecil khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed ketika dihubungi HarakahDaily hari ini berkata, subsidi tersebut perlu diteruskan sehingga suku ketiga tahun ini agar peniaga PKS dapat menarik nafas lega dan eknomi mereka kembali pulih sepenuhnya selepas penularan Covid-19 diredakan.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa PSU 3.0 yang bernilai RM1 bilion akan memanfaatkan 250 ribu majikan dan 2.6 juta pekerja.

- Advertisement -

PSU 3.0 akan melayakkan majikan untuk menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja mereka yang berpendapatan kurang daripada RM4,000.

Dalam pada itu, Anuar menyarankan agar moratorium dan potongan ansuran pinjaman di dalam PERMAI dapat diperhalusi dengan memberikan perlanjutan secara automatik kepada isi rumah berpendapatan di bawah RM10,000.

Beliau dalam masa sama mencadangkan kerajaan untuk memantau harga barang ekoran terdapat tanda-tanda yang menunjukkan kenaikan harga barangan di pasaran.

“Sekiranya terdapat keperluan, maka kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan ordinan bagi mengekang kenaikan harga barang pada ketika ini,” saran beliau lagi.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa pelaksanaan PERMAI adalah bagi tujuan mengurangkan beban yang dihadapi rakyat dan ketahanan ekonomi ketika negara sedang berdepan penularan pandemik Covid-19.

Menurut Muhyiddin, pakej bantuan PERMAI memperuntukkan sejumlah RM15 bilion dengan 22 inisiatif bermatlamat untuk memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Pakej bantuan PERMAI merupakan inisiatif kelima yang dilaksanakan kerajaan dalam membantu rakyat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu.

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) melibatkan peruntukan RM250 bilion pada Mac 2020 dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin Tambahan) sebanyak RM10 bilion pada April 2020.

Kemudian, turut diumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) melibatkan perbelanjaan sebanyak RM35 bilion pada Jun lepas, selain Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) dengan peruntukan RM10 bilion pada September lepas.

Bagi memudahkan akses kepada maklumat mengenai semua inisiatif dan bantuan yang telah tersedia, orang ramai boleh melayari Portal Manfaat Belanjawan 2021. – HARAKAHDAILY 19/1/2021

- Advertisement -