Permai: Pekerja layak mohon insuran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua majikan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) layak memohon Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tanpa mengambil kira sektor.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkara, inisiatif tersebut melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion yang dianggarkan memanfaatkan 250,000 majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja.

“Untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang dari RM4,000,” katanya.

- Advertisement -

Muhyiddin memaklumkan, kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat permohonan bagi program Sistem Insurans Pekerja (SIP) Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan PKP.

Katanya, pekerja yang tidak memenuhi caruman minimum atau tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya tiga kali, akan dibenarkan untuk memohan bantuan kewangan SIP Prihatin.

“Mereka akan dibenarkan memohon bantuan kewangan SIP Prihatin sebanyak 30 peratus daripada pendapatan selama tiga bulan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang disiarkan secara langsung, semalam.

Pakej bantuan Permai merupakan inisiatif kelima yang dilaksanakan kerajaan dalam membantu rakyat sejak PKP pertama kali dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu.

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Prihatin melibatkan peruntukan RM250 bilion pada Mac 2020 dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin Tambahan) sebanyak RM10 bilion pada April 2020.

Kemudian, turut diumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) melibatkan perbelanjaan sebanyak RM35 bilion pada Jun lepas, selain Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) dengan peruntukan RM10 bilion pada September lepas.

Bagi memudahkan akses kepada maklumat mengenai semua inisiatif dan bantuan yang telah tersedia, orang ramai boleh melayari Portal Manfaat Belanjawan 2021. –HARAKAHDAILY 19/1/2021

- Advertisement -