Tiada yang terpinggir

- Advertisement -

ALOR GAJAH: Sikap prihatin yang ditunjukkan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah kerana latar belakang beliau yang pernah melalui kesusahan hidup semasa kecil.

Sebagai tanda prihatin, Perdana Menteri sendiri telah meletakkan satu slogan yang sangat baik iaitu ‘no one left behind’ bermaksud tidak ada seorang pun yang akan ketinggalan daripada mendapat manfaat hasil daripada kewujudan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini.

- Advertisement -

Demikian dinyatakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary ketika menyampaikan bantuan Program Jom Ke Sekolah 2021, sumbangan Yayasan Taqwa di Kompleks Japerun Dun Durian Tunggal, di sini, pagi tadi.

Beliau dalam ucapannya itu turut mengimbau kembali sirah Rasulullah SAW di dalam peristiwa Hijrah ke Madinah di mana pada masa itu, Rasulullah SAW lebih awal berhijrah, kemudian diikuti oleh beberapa orang Sahabat pada masa yang lain.

Menurut Ustaz Marzuk, apabila sahabat-sahabat sampai di Madinah, mereka telah bercerita kepada Rasulullah SAW tentang kesukaran yang mereka lalui sepanjang perjalanan hijrah mereka itu.

“Orang pertama yang menangis (apabila mendengar luahan sahabat) ialah junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Kenapa Nabi menangis? Kerana Nabi terlebih dahulu melalui melalui kepayahan dan kesukaran (perjalanan) itu.

“Nabi lebih dulu tahu bagaimana susahnya hijrah itu. Sebab itu apabila Mus’ab bin Umair menceritakan kepada Nabi, Nabi menangis. Kerana Nabi menjiwai, sebab Nabi lebih dahulu melalui perkara tersebut,” ujar beliau.

Mengulas lajut kata Marzuk, jika melihat kepada latar belakang Muhyiddin yang berasal daripada keluarga besar dan adik beradik yang sangat ramai, itulah yang menjadikan Perdana Menteri Malaysia itu seorang yang prihatin apabila menjadi pemimpin negara seperti sekarang.

“Itulah (kepimpinan) yang kita ada, begitu juga dalam soal kepimpinan yang lain yang mewarnai kepimpinan negara kita, daripada PAS sendiri, daripada Umno, daripada Bersatu, adalah kepimpinan yang terbaik yang boleh merasai perit dan jerih rakyat di bawah.

“Oleh kerana itulah kita mengolah pentadbiran kerajaan ini berdasarkan kepada apa yang kita jiwai dan lalui. Maka hasilnya dapat dinikmati bantuan yang prihatin yang banyak daripada kerajaan untuk rakyat,” ujar beliau.

Menurut Marzuk, melalui Yayasan Taqwa, (sebuah agensi di bawah Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri) seramai 300 orang pelajar daripada kumpulan B40 dari Melaka akan menerima bantuan peralatan dan pakaian sekolah bernilai RM170 setiap seorang dengan peruntukan lebih RM50 ribu.

Tambah beliau lagi, seramai 13 ribu orang pelajar dari seluruh Malaysia yang dikenalpasti daripada kumpulan B40 akan menerima bantuan daripada program ini dengan nilai peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.8 juta.

Sementara itu, seramai 15 orang murid telah menerima sumbangan pada majlis yang berlangsung pagi tadi sebagai simbolik penyerahan di mana baki penerima akan menerima bantuan ini di Dun masing-masing pada majlis berasingan dalam masa terdekat ini.

Turut menyampaikan ucapan pada majlis ini ialah Penasihat Agama Kepada Ketua Menteri Melaka, Dato’ Ustaz Kamarudin Sidek yang mewakili kerajaan Negeri Melaka.

Turut hadir ialah Timbalan Peseruhjaya (TPJ) I PAS Melaka; Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail, TPJ II, Ustaz Imran Abdul Rahman; TPJ III, Muhamat Puhat Bedol; Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaludin; Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Melaka, Mohsin Ibrahim; pimpinan PAS Perhubungan Melaka dan pimpinan Parti Bersatu dan Umno tempatan. – HARAKAHDAILY 7/1/2021

- Advertisement -