Khidmat isi minyak bergerak KPDNHEP-PETRONAS ROVR

- Advertisement -

BANJIR teruk yang melanda Pahang sehingga menyebabkan lebih 19,000 mangsa yang terdiri daripada ribuan keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air.

Antara kawasan yang teruk terjejas adalah bandar Kuala Lipis yang turut menyaksikan banyak kedai, pasar raya serta stesen minyak terpaksa ditutup dan tidak dapat beroperasi disebabkan keadaan banjir ini.

- Advertisement -

Saya bersimpati dengan nasib mangsa-mangsa yang terjejas dan percaya kakitangan semua agensi dan jabatan kerajaan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menyalurkan bantuan sewajarnya.

Di pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), saya difahamkan semua lima stesen minyak yang beroperasi di bandar Kuala Lipis ditenggelami air sejak 4 Januari lalu.

Stesen minyak yang terselamat dan paling dekat pula terletak agak jauh iaitu kira-kira 30 kilometer dari bandar Kuala Lipis.

Keadaan ini pasti akan menyusahkan semua pihak termasuk penduduk, agensi dan jabatan kerajaan, mahupun sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan petrol untuk bergerak melaksanakan tugas atau misi kemanusiaan mereka.

Justeru, KPDNHEP mengambil langkah proaktif bekerjasama dengan PETRONAS dan Pejabat Daerah Lipis untuk menempatkan sebuah trak perkhidmatan mengisi minyak bergerak yang dikenali sebagai PETRONAS ROVR di bandar Kuala Lipis untuk kegunaan semua pihak yang memerlukan.

ROVR itu yang menyediakan petrol PETRONAS PRIMAX 95 ditempatkan di Terminal Anggerik, Bandar Baru Kuala Lipis dan beroperasi bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang setiap hari.

Pengguna boleh membuat bayaran menggunakan kad debit dan kredit. Walau bagaimanapun pembayaran wang tunai tidak diterima buat masa ini. Trak ini akan beroperasi sehingga perkhidmatan stesen minyak yang terjejas di bandar Kuala Lipis kembali beroperasi.

Dalam pada itu, KPDNHEP sedang berbincang dengan PETRONAS untuk memperluaskan lagi perkhidmatan seumpama ini di kawasan dan negeri lain yang terjejas akibat banjir yang mengalami masalah serupa.

Saya berharap, inisiatif ini akan memberi sedikit kelegaan dan memudahkan segala urusan penduduk, agensi dan jabatan kerajaan serta sukarelawan NGO yang sedang berjuang membantu mangsa-mangsa banjir.

DATUK ALEXANDER NANTA LINGGI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna – HARAKAHDAILY 7/1/2021

- Advertisement -