Tuisyen Rakyat untuk calon SPM di Terengganu

- Advertisement -

KERAJAAN Negeri Terengganu melalui portfolio YB Ustaz Saiful Bahri Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Terengganu telah menganjurkan Tuisyen Rakyat untuk calon-calon SPM mengikut kawasan dun seluruh Terengganu.

Ekoran situasi pandemik COVID-19, pihak Kerajaan Negeri Terengganu memainkan peranan untuk membantu calon SPM untuk mengikuti Tuisyen Rakyat yang diadakan di premis-premis di kawasan sekitar sekolah berdekatan. Matapelajaran untuk tuisyen ini ditumpukan pada subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

- Advertisement -

Pusat Khidmat DUN Tepoh dan i-MITS DUN Tepoh telah menyusun inisiatif ini dengan memilih 3 premis iaitu Dewan Kuliah Masjid Unisza, Dewan Seminar Felda Wilayah Terengganu dan Dewan Seminar Masjid MTT. Atas semangat komuniti, satu usaha bersama pihak guru-guru dijalankan bagi mengenal pasti pemilihan pelajar untuk ditempatkan ke Tuisyen Rakyat yang dikendalikan oleh guru-guru pakar dalam matapelajaran yang berkaitan. Seramai hampir 150 orang pelajar telah mengikuti tuisyen ini.

Untuk rekod, pada tahun 2019 satu Kem Kecemerlangan SPM untuk calon SPM dalam kawasan Tepoh telah diadakan di Permai Hotel untuk membimbing calon SPM waktu itu untuk mempersiapkan diri dengan sebaik mungkin. Laporan keputusan peperiksaan SPM yang dikemukakan pihak sekolah juga begitu memberangsangkan. Program tajaan bersama pihak PETRONAS waktu itu amat memberi makna buat semua peserta.

Kali ini dengan situasi yang sangat tidak mengizinkan, Tuisyen Rakyat menjadi satu alternatif untuk membantu semua pelajar calon SPM bagi mendepani peperiksaan SPM Februari nanti dengan lebih bermotivasi dan meyakinkan. Pihak kami turut membuka dua kelas elit untuk disertai calon peperiksaan SPM. Guru pakar dalam subjek Matematik Tambahan, Bahasa Inggeris dan Kimia.

Semalam saya singgah seketika meninjau perjalanan kelas tuisyen dan memberikan sedikit lontaran semangat agar semua berusaha gigih mengejar kejayaan dalam peperiksaan ini nanti. Saya mendoakan agar semua calon peperiksaan SPM akan lalui peperiksaan ini dengan lancar dan berjaya dengan cemerlang.

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan & NGO Kerajaan Negeri Terengganu
ADUN Tepoh – HARAKAHDAILY 7/1/2021

- Advertisement -