Petronas bawa alternatif tangani cabaran ekonomi

- Advertisement -

SEMALAM saya kemukakan soalan berkenaan peranan Petronas dalam usaha merancakkan ekonomi negeri selain daripada ‘core business’ mereka dalam sektor minyak dan gas. Dengan kelebihan dalam sektor tersebut, memanfaatkan bahan sedia ada dan dikembangkan lagi melalui sektor hiliran memberikan kelebihan buat syarikat dan orang ramai. 

Sebagai sebuah syarikat gergasi negara, saya melihat Petronas cukup memahami suasana semasa yang cukup mencabar dalam perkembangan pandemik COVID-19 dan penurunan harga minyak dunia. Selain daripada penjelasan pihak YB Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkenaan perkara ini, saya juga mendapatkan maklumat lebih terperinci secara langsung daripada pihak Petronas.

Kami dimaklumkan terdapat tiga projek yang telah dimulakan langkah kajian untuk kepentingan perkembangan ekonomi dan boleh membantu Terengganu. Berikut saya senaraikan maklumat berkenaan:

- Advertisement -

(1) Harum Manis Ezy – Berperanan dalam menambah nilai kepada pengeluaran ‘derivatif ethylene’ sedia ada di Kertih.

(2) Cinnamon – Yang akan menambah nilai kepada pengeluaran ‘acetic acid’ sedia ada.

(3) Merlin – Satu usaha kelestarian untuk mengurangkan pelepasan CO2.

Projek Cinnamon dan Merlin masih lagi dalam peringkat kajian. Projek Harum Manis Ezy di peringkat permulaan kemungkinan akan membekalkan 100 peluang pekerjaan. Fasa proses pembinaan kemungkinan bakal melibatkan 500 peluang pekerjaan. Insya-Allah, tahun hadapan akan dimulakan proses construction.

Saya difahamkan, projek-projek yang dirancang oleh Petronas ini, jika direalisasikan, akan membawa pelaburan langsung yang bernilai lebih USD300 juta di Negeri Terengganu yang sudah tentu akan membawa limpahan ekonomi, peluang pekerjaan dan pelbagai manfaat lain kepada rakyat. 

Saya harap ia menjadi kenyataan. Ia juga dilihat komitmen padu Petronas untuk Terengganu dengan mencari pelbagai alternatif lain untuk dirancakkan di sini. Pelaburan dari pihak Petronas lebih meyakinkan kerana lazimnya mereka akan meneliti dengan terperinci peluang sesuatu urusniaga.

USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM – HARAKAHDAILY 24/11/2020 

- Advertisement -