PN lantik 14 Pengerusi Perhubungan Negeri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 14 Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN) hari ini dilantik, termasuklah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi BPN Johor.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan di Facebook miliknya berkata, kesemua lantikan dibuat oleh Pengerusi PN itu selepas bermesyuarat bersama Majlis Tertinggi PN.

“Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula dipilih mengetuai BPN Terengganu, manakala Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilantik sebagai Pengerusi BPN Kelantan.

- Advertisement -

“Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi BPN Selangor dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi BPN Perak,” katanya dilapor Bernama.

Beliau berkata mereka yang lain adalah; Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor (Pengerusi BPN Kedah), Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor (Sabah), Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah (Pahang) dan Pengerusi Parti Bersatu Negeri Sembilan Datuk Eddin Syazlee Shith (Negeri Sembilan).

Selain itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Shabudin Yahaya (Pulau Pinang), Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli (Perlis), EXCO Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Melaka), Pengerusi Bersatu Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak) dan Setiausaha Kerja Bersatu Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya (Wilayah Persekutuan).

PN sebelum ini telah menubuhkan Majlis Presiden yang dianggotai semua presiden parti dalam Kerajaan PN diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Disember lalu.

“Malam ini, telah berlangsung majlis perjumpaan ketua-ketua parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional yang telah dihadiri oleh pemimpin daripada semua parti.

“Saya berasa amat gembira dapat bersua muka dan berbincang dengan rakan-rakan Presiden dan wakil-wakil parti mengenai pengukuhan kerjasama politik antara kami untuk memastikan kestabilan politik negara serta menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.

“Kami telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional yang dianggotai oleh semua Presiden parti-parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional sebagai wadah penting untuk memperkukuhkan kerjasama antara parti,” kata beliau yang juga Pengerusi PN, lapor Astro Awani.

Menurut Muhyiddin, beberapa langkah ke hadapan termasuk penubuhan Sekretariat Setiausaha Agung parti-parti dalam kerajaan PN turut dibincangkan dan dipersetujui.

Selain itu, penggubalan piagam antara parti juga akan dibincangkan di peringkat parti masing-masing serta persiapan untuk pilihan raya akan datang.

“Majlis Presiden akan bertemu lebih kerap dengan pertemuan pertama pada awal tahun hadapan untuk mendengar taklimat mengenai kedudukan ekonomi semasa negara, pengurusan COVID-19 dan penyediaan RMK-12,” katanya lagi.

Dalam pada itu, menurut laporan Sinar Harian, ketua-ketua parti yang hadir pada mesyuarat tersebut ialah Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang; Presiden MCA, Dato’ Seri Ir Dr Wee Ka Siong dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Profesor Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Turut hadir ialah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dato’ Seri Dr Maximus Johnity Ongkili; Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Dato’ Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato’ Joseph Salang Gandum; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup dan Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Edward Dagul.

Naib Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato’ Paul Igai; Setiausaha Agung MIC, Datuk Asojan Muniyandy dan Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Senator Dato’ Guan Dee Koh Hoi juga hadir dalam mesyuarat tersebut.

Mesyuarat berkenaan turut membincangkan pembentukan sebuah kerjasama politik yang kukuh bagi mewujudkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. – HARAKAHDAILY 5/1/2021

- Advertisement -