Serangan siber terkini sasar portal web ATM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Portal web Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dipercayai digodam pihak tidak bertanggungjawab dengan mempamerkan gambar tidak senonoh, semalam, telah ditangani sebaiknya.

Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang, mengesahkan insiden serangan siber terhadap rangkaian data itu yang telah dikesan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM.

“Bagaimanapun, serangan itu hanya melibatkan segmen tertentu yang telah diletakkan di luar rangkaian sejak awal lagi, dan tidak menjejaskan operasi portal sebenar.

- Advertisement -

“Sebaik serangan bermula, BSEP dan CDOC telah melaksanakan pengasingan trafik data bagi tujuan mengaburkan lokasi sebenar data-data berdarjah, seterusnya melindungi rangkaian yang menjadi sasaran penggodam.

“ATM juga menyedari wujudnya cubaan serangan siber yang berterusan terhadap rangkaian maklumat yang dimiliki oleh pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM,” katanya dalam kenyataan yang dilaporkan Bernama, hari ini.
 
Affendi menegaskan aspek keselamatan siber ATM sentiasa dipantau serta bersiap sedia dan dipertingkatkan bagi memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan.

“Terutama melalui peranan BSEP dan CDOC, yang bukan hanya memperkukuhkan rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM, malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara,” katanya.

Serangan siber dilaporkan meningkat sejak tempoh COVID-19 sejajar dengan lonjakan besar trafik internet khususnya pencurian maklumat kad pembayaran yang digunakan semasa membuat pembelian dalam talian.

Mengambil serius perkembangan tersebut, kerajaan memulakan langkah untuk pelaksanaan pelan tindakan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang telah dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 Oktober lepas.

Rentetan itu, mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) dipengerusikan Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan mengenai penubuhan Pasukan Petugas Khas berkaitan.

Kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyebut, JKSN memutuskan penubuhan pasukan tersebut bagi mengenal pasti dan mengkaji isu keselamatan siber ke arah menggubal undang-undang yang berkaitan dengannya.

Keputusan lain ialah penubuhan satu kumpulan kerja bagi menyelaras inisiatif penilaian dan pengukuhan keselamatan siber terhadap agensi sektor awam kritikal terpilih dengan fasa pertama melibatkan 16 agensi.

Menurut MKN, sepanjang tahun ini, terdapat peningkatan kes insiden siber yang dilaporkan organisasi sektor awam dan sehingga 30 November lepas, sebanyak 3,836 insiden siber direkodkan.

Ini menyaksikan 31.5 peratus kes melibatkan pencerobohan manakala 53.19 peratus melibatkan jangkitan perisian hasad atau ‘malware.’

“Serangan Ancaman Terperinci Lanjutan atau ‘Advanced Persistent Threat’ (APT), perisian tebusan atau ‘ransomware’ dan pencerobohan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerajaan adalah isu serius yang perlu diatasi.

“Kerana ia boleh menyebabkan berlakunya ketirisan maklumat strategik, menjejaskan operasi dan mencalar imej. Kesannya keselamatan dan kedaulatan negara terjejas, ekonomi dan kestabilan politik tergugat serta kesejahteraan rakyat terancam,” menurut kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 29/12/2020

- Advertisement -