Strategi Keselamatan Siber Malaysia dilancarkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan melancarkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020-2024 dengan peruntukan RM1.8 bilion bagi meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan siber negara.

Advertisement

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) diberi tanggungjawab menggubal, melaksana, memantau dan menyelaras pelan tindakan jangka sederhana itu.

Perdana Menteri berkata strategi itu dirangka bersandarkan lima tonggak utama yang merangkumi 12 strategi, 35 pelan tindakan dan 113 program sebagai teras mekanisme keselamatan siber dalam berdepan apa jua bentuk serangan siber.

“Tonggak pertama, mempertingkatkan pengurusan tadbir urus dan keselamatan siber negara dengan menambah baik infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kritikal negara selain meningkat keupayaan menangani isu keselamatan siber secara efektif.

“Dalam hal ini, Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara ditubuhkan dan saya melantik Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pengerusi menerajui jawatankuasa ini, ” katanya dalam ucapan perasmian MCSS 2020-2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Ucapan Perdana Menteri dibacakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKMM Datuk Suriani Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik) Majlis Keselamatan Negara Datuk Khairul Shahril Idrus.

Perdana Menteri berkata tonggak kedua adalah memperkukuhkan penguatkuasaan jenayah siber dan perundangan sedia ada dengan meneliti semula undang-undang berkaitan serta menggubal undang-undang khusus mengenai keselamatan siber.

Beliau berkata tonggak ketiga pula pemerkasaan inovasi dan teknologi bertaraf dunia dalam bidang keselamatan siber dan keempat, mempertingkatkan pembangunan kapasiti serta tenaga mahir bidang keselamatan siber.

“Tonggak kelima, memperkukuhkan kerjasama antarabangsa iaitu dengan menggiatkan kerjasama peringkat serantau dan antarabangsa bagi melindungi ruang siber negara,” kata beliau.

Muhyiddin menegaskan soal keselamatan siber negara, terus menjadi keutamaan dalam agenda pertahanan dan keselamatan negara.

Perdana Menteri menyifatkan inisiatif berbentuk pertahanan siber aktif itu tepat pada masanya terutama berikutan jenayah siber yang meningkat semasa tempoh penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Nasional (NC4) berjaya mengesan dan mengekang beberapa serangan siber terhadap agensi tertentu.

“Serangan siber meliputi ‘Advance Persistent Threat’ (APT) iaitu pencerobohan laman sesawang agensi tertentu selain serangan siber Ransomware dan Zero-Day,” kata beliau.

Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa terdapat elemen keselamatan siber dalam semua inisiatif digital yang diterajui kerajaan yang boleh meredakan kebimbangan pelabur mengenai masalah keselamatan.

Muhyiddin berkata kerjasama antarabangsa amat penting untuk mengatasi masalah keselamatan siber kerana tidak ada negara yang dapat menangani masalah ini secara sendirian.

“Malaysia juga telah menyokong inisiatif keselamatan siber di kedua-dua platform, serantau dan antarabangsa, yang membawa kepada penetapan norma untuk keselamatan siber bersama dengan ASEAN, Forum Serantau ASEAN (ARF), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Komanwel.

“Kami berharap dapat meneroka lagi hubungan dua hala dan pelbagai hala bersama,” katanya. – BERNAMA