Isu kartel daging dan logo halal palsu

- Advertisement -

AGENSI utama di pintu masuk negara dalam menyelia sebarang aktiviti pengimportan dan pengeksportan pelbagai komoditi adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (KASTAM). Bagi aktiviti mengawalselia pengimportan dan pengeksportan komoditi pertanian, haiwan dan perikanan, pihak KASTAM akan merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Perundangan yang digunapakai oleh MAQIS ialah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) dalam mengawalselia aktiviti pengimportan dan pengeksportan komoditi tersebut. Akta 728 menetapkan bahawa sebarang pengimportan dan pengeksportan komoditi pertanian, haiwan dan perikanan memerlukan permit daripada MAQIS dan perlu mematuhi syarat-syarat yang telah tertera dalam permit tersebut. Kesalahan yang boleh dikenakan adalah seperti berikut:

- Advertisement -

(a) Mengimport atau mengeksport komoditi berkenaan tanpa permit (Seksyen 11, Akta 728);
(b) Memberikan kenyataan mengelirukan di dalam permit (Seksyen 13, Akta 728); 
(c) Semasa pemeriksaan mengandungi perosak, penyakit atau bahan cemar (Seksyen 14, Akta 728); atau 
(d) Tidak mematuhi syarat permit (Seksyen 15, Akta 728). 

Kesemua kesalahan jika sabit kesalahan di mahkamah boleh dikenakan denda masing-masing tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama 6 tahun atau keduanya sekali. 

Sebelum sesuatu produk keratan daging dibenarkan untuk diimport masuk ke dalam negara, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) bertanggungjawab melaksanakan pemeriksaan di loji pemprosesan atau abattoir di negara asal bagi aspek keselamatan makanan serta SPS (sanitari dan fitosanitari). Rujukan mereka berpandukan;

(a) APTVM Malaysia – Pengauditan Abatoir & Loji Pemprosesan Luar Negara;
(b) Implementation of Inspection Services at Foreign Abattoir and Processing Plant For Export of Meat and Products of Animal Origin to Malaysia.
(c) MS1480:2007 – Food Safety According To Hazard Analysis & Critical Control Point (HACCP);
(d) MS1514:2009 – Good Manufacturing Practice (GMP) For Food). 

Manakala semasa audit, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu menentukan haiwan tersebut disembelih mengikut syariat dan standard halal Malaysia dan berpandukan:

(a) MS1500: 2009 – Malaysian Standard For Halal Food.
(b) Malaysian Protocol For The Halal Meat & Poultry Production.

Hanya loji pemprosesan atau abattoir yang telah diluluskan oleh kedua agensi tersebut boleh dipertimbangkan untuk kelulusan ke peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). Selepas MAFI memberi kelulusan pengimportan kepada loji pemprosesan atau abattoir dari negara yang tertentu, hanya senarai loji atau abattoir yang diluluskan sahaja boleh dipohon untuk pengeluaran permit import menerusi portal DagangNet

Di pintu masuk, berpandukan syarat yang tertera di dalam permit, kemasukan keratan daging lembu, kerbau, kambing, bebiri dan ayam perlu diiringi dengan:

(a) Permit Import MAQIS. Pengimport perlu terlebih dahulu memohon permit import daripada MAQIS sebelum konsainan tiba di Malaysia.
(b) Borang KASTAM K1 yang mengesahkan pengimport telah mengikrarkan komoditi tersebut kepada pihak KASTAM bertujuan untuk diimport ke dalam negara.
(c) Sijil Kesihatan Veterinar dari pihak berkuasa Veterinar negara asal yang mengesahkan konsainmen tersebut bebas daripada penyakit haiwan dan penyakit zoonotic yang boleh menjangkiti manusia seperti penyakit Brucellosis, Tuberculosis, Selesema Burung atau Highly Pathogenic Avian Influenza dan sebagainya. 
(d) Sijil Halal daripada Badan Islam negara asal yang telah diiktiraf dan dilulus oleh JAKIM.
(e) Dokumen sokongan seperti Packing List, Invoice dan Bill of Lading atau Airways Bills.

MAQIS bertanggungjawab untuk memastikan semua pengimportan keratan daging di semua pintu masuk negara diiringi dengan dokumen seperti yang telah dinyatakan di atas. Menjadi satu kewajiban di semua pintu masuk, mana-mana kontena sejuk beku akan diperiksa bagi memastikan ianya mengandungi keratan daging yang diimport dari loji pemprosesan yang dibenarkan sahaja. Pemeriksaan bermula dengan semakan dokumentasi dan seterusnya pemeriksaan fizikal yang mengesahkan produk yang diimport sama seperti diikrarkan dalam permit import, sijil kesihatan, sijil halal dan konsaimen di dalam kontena yang diimport masuk. 

MAQIS hanya berada di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala agensi yang mengawal selia pegimportan daging di Sabah dan Sarawak ialah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri berkenaan. 

Merujuk kepada isu kartel daging yang sedang hangat diperkatakan pada ketika ini, MAQIS ingin memaklumkan bahawa setiap konsainan produk daging yang diimport perlu melalui tapisan pemeriksaan ketat berdasarkan Standard Operating Procedure Pemeriksaan (SOP) yang telah ditetapkan. Pemeriksaan konsainan akan dilakukan berdasarkan kepada syarat import yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Malaysia. Semua kontena sejuk beku perlu diperiksa oleh MAQIS bagi memastikan ianya tidak mengandungi keratan daging dari loji atau abatoir yang tidak diluluskan oleh Kerajaan Malaysia. Dari aspek pelabelan logo halal pada produk keratan daging, MAQIS ingin menegaskan bahawa pelepasan hanya diberikan kepada produk yang mempunyai sijil halal dan label logo halal daripada badan Islam luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) sahaja. 

Pihak MAQIS turut melaksanakan persampelan di kesemua pintu masuk bagi memastikan keratan daging yang hendak dibawa masuk adalah yang dibenarkan untuk import (daging lembu, kerbau, kambing, bebiri dan ayam) serta bebas dari sebarang penyakit haiwan dan penyakit zoonotik yang boleh mengancam nyawa manusia berdasarkan arahan persampelan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia. 

Selain itu pelepasan sebarang konsainan import juga tertakluk kepada kelulusan pelbagai agensi kawalan sempadan yang berkaitan sebelum ianya dibenarkan masuk ke dalam negara. Contohnya pihak Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di pintu masuk sempadan darat di Perlis dan Kedah serta Perak manakala Pasukan Gerakan Am, Polis DiRaja Malaysia (PGA) membantu mengawal sempadan di Negeri Kelantan. Pihak JKDM atau Kastam juga turut membantu di lain-lain pintu masuk seperti di Pelabuhan dalam memastikan konsainmen daging yang telah diperiksa oleh MAQIS sahaja boleh dilepaskan dan masuk dalam negara.

Bermula Januari sehingga November 2020, untuk kesemua kes tahanan melibatkan komoditi pertanian, haiwan dan perikanan, sebanyak 1220 kes yang melibatkan dagangan bernilai RM157 juta telah ditahan melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 11, 13, 14 dan 15, Akta 728. Sebanyak 959 kes pula telah dikenakan kompaun berjumlah RM3.3 juta.

Manakala khusus bagi kes tahanan komoditi daging sahaja, sebanyak 56 kes ketidakpatuhan bernilai RM5.3 juta ditahan dan dikompaun kerana tidak memiliki permit import atau memberi kenyataan mengelirukan semasa pengimportan atau ketidakpatuhan kepada syarat permit untuk pengimportan keratan daging lembu, kerbau, kambing, bebiri dan ayam. Kompaun berjumlah RM224,800 telah dikenakan terhadap para pengimport tersebut. Mana-mana konsainmen daging yang tidak mematuhi syarat import seperti ketiadaan sijil kesihatan yang sah dan sijil halal akan dilucuthakkan dan dilupuskan.

Akhir kata, MAQIS sentiasa komited dalam mengekang sebarang aktiviti penyeludupan produk pertanian dengan menjalankan kerjasama strategik bersama dengan agensi lain di pintu sempadan negara yang berkaitan demi memastikan produk makanan berasaskan pertanian yang diimport masuk ke dalam negara kekal selamat, bebas dari penyakit, bahan cemar dan perosak serta suci dan halal. 

MAQIS memohon supaya kesemua pemain industri berintegriti dan amanah dalam menjalankan aktiviti pengimportan serta memandang serius etika bersih perniagaan, dan tidak hanya mengutamakan keuntungan semata-mata yang boleh memudaratkan masyarakat Malaysia terutama dalam aspek halal. 

KETUA PENGARAH
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) – HARAKAHDAILY 28/12/2020

- Advertisement -