PKPD kawasan Kluster Halban

- Advertisement -

KOTA BHARU: Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan membuat keputusan untuk mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Pondok Darul Naim berkuatkuasa hari ini.

- Advertisement -

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata lokasi yang terlibat membabitkan penularan Kluster Halban.

Beliau berkata, PKPD yang dilaksanakan di Pondok Darul Naim itu dibuat bagi memastikan penularan wabak melalui kluster itu dapat dikawal dengan sebaik mungkin.

Katanya, kluster Halban melibatkan 99 individu yang telah disaring dan 29 kes telah dikesan positif Covid-19 sehingga semalam, pada Sabtu.

“Oleh kerana mereka sekelompok dari kawasan pondok, (jadi mereka) dikuarantinkan di pondok mereka (dan) tidak dibenarkan keluar dan kita akan hantar bantuan nanti.

“Buat masa sekarang ini, kita cuba kawal keadaan yang ada, jika tidak terkawal kita tidak teragak-agak untuk laksanakan semula PKP Bersyarat (PKPB),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat JKKN di Kompleks Kota Darulnaim di sini yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yaakob.

Beliau berkata lagi, kerajaan negeri juga bersetuju berhubung penguatkuasaan semula peraturan dari semasa ke semasa walaupun tiada PKP dilaksanakan di negeri ini.

Menurutnya, kajian Jabatan Kesihatan Negeri sudah mengenalpasti antara punca wabak itu tersebar iaitu melalui program yang melibatkan perkumpulan orang ramai.

Bagi Kluster Seragam Chepa pula, kerajaan negeri bersetuju untuk menutup operasi kilang sementara waktu bagi mengelakkan penularan lebih teruk.

Sementara itu, seramai 430 individu telah disaring, di mana 13 kes dikesan positif sehingga semalam melibatkan daerah Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.

“Bagi Kluster Seragam Chepa, kita bersetuju untuk menutup operasi kilang sementara dan buat ujian swab bagi memastikan wabak dapat dikawal.

“Untuk yang pulang ke kampung bercuti, duduklah di rumah sebab kita tidak tahu apa yang kita bawa, kita jaga diri kita, orang lain dan keluarga,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/12/2020

- Advertisement -