‘Saya juga mahu masjid dibuka, diimarahkan’ – Dr Zul

Kepatuhan SOP oleh institusi agama ini diharap jadi contoh diikuti premis awam dan rakyat Malaysia

- Advertisement -

(Maklum balas surat terbuka kepada saya oleh Sahibul Fadhilah Ustaz Haji Kamil Sidek)

- Advertisement -

ASSALAMUALAIKUM W.B.T. Saya mulakan dengan firman Allah S.W.T:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”

(al-Taubah: 18)

Semalam, saya terbaca surat YBhg. Ustaz yang ditularkan melalui Whatsapp, jua ruang komen di Facebook saya. Saya amat berterima kasih atas keprihatinan dan kecaknaan YBhg. Ustaz dalam isu berkaitan masjid dan surau di Selangor sepanjang COVID-19 ini. Sesungguhnya, usaha YBhg. Ustaz dan jamaah Masjid Darul Falah, Jeram, Selangor dalam mematuhi Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) di masjid dan surau amatlah dihargai khususnya bagi membantu pihak kerajaan dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Untuk makluman YBhg. Ustaz, sebarang SOP yang ditetapkan, adalah hasil resolusi Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang dianggotai para Ashabus Samahah Mufti-mufti seluruh Malaysia selaku pihak berkuasa agama negeri dan Ahli-ahli Dilantik Majlis Raja-raja sebagai satu panduan bersama sebelum dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Pandangan dan nasihat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara juga diutamakan atas faktor kepakaran dan maklumat yang terperinci berkaitan isu-isu kesihatan dan keselamatan.

Sebagaimana amalan kebiasaan, resolusi muzakarah ini akan dibawa sebagai sembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja sebagai satu pandangan dan nasihat untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri. 

Ingin saya jelaskan kepada YBhg. Ustaz, Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-raja bagi negeri-negeri. Hal ini jelas disebut di bawah Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Rujuk penjelasan saya di [1].

Sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Islam di peringkat Persekutuan, saya boleh mengusulkan cadangan melalui Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia untuk penelitian Pihak Berkuasa Agama Negeri. Namun, keputusan akhir adalah sepenuhnya hak mutlak dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-raja bagi negeri-negeri. 

Saya yakin, kita semua amat menjunjung hikmah dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Raja-raja Melayu dalam mempertimbangkan dan memutuskan sebarang urusan berkaitan hal ehwal Islam di negeri-negeri dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan dan memutuskan sebarang urusan berkaitan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri tidak beraja.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sebuah agensi utama pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan pada 12 November 2020 telah mengeluarkan senarai lengkap SOP Aktiviti Masjid dan Surau di seluruh Malaysia mengikut zon. Alhamdulillah, pembukaan berperingkat masjid dan surau bermula April 2020 ini diteliti oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri masing-masing dari semasa ke semasa untuk penambahbaikan. Justeru, pada hakikatnya masjid dan surau kita tidak pernah ditutup pada waktu-waktu solat, begitu juga bagi majlis ilmu. Ia dibuka secara bersyarat, mengikut SOP yang diputuskan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri masing-masing. Rujuk [2].

Memandangkan YBhg. Ustaz bertanyakan bagi pihak Masjid Darul Falah yang berada dalam Negeri Selangor, sukacita saya ingin berkongsi bahawa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari telah memaklumkan bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mempersembahkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan masjid dan surau di seluruh negeri ini kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam. Rujuk [3].

Sejujurnya, jauh di dalam hati kecil saya juga ingin sebolehnya masjid dan surau dibuka dan diberikan haknya untuk diimarahkan dengan majlis ilmu, solat fardhu dan solat Jumaat seperti biasa. Namun, pandemik COVID-19 tidak boleh dipandang ringan. Oleh sebab itulah pihak Kerajaan, jua Pihak Berkuasa Agama Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara amat mengambil berat akan hal ini. Saya juga percaya, para Ashabus Samahah Mufti kita begitu prihatin akan keselamatan umat Islam di Malaysia. 

Dari semasa ke semasa, saya mendapat laporan yang amat baik berkenaan pematuhan SOP oleh jamaah masjid dan surau di seluruh Malaysia. Tidak keterlaluan saya katakan, tempat-tempat lain yang dibuka kepada awam seperti restoran, kedai runcit dan pasar malam yang disebutkan YBhg Ustaz, wajar mencontohi disiplin para jamaah di masjid dan surau dalam mematuhi SOP. Itulah hasrat dan semangat yang ingin dizahirkan oleh para Ashabus Samahah Mufti di seluruh negara. Melihat kepada situasi semasa, saya yakin Pihak Berkuasa Agama Negeri masing-masing pasti akan memutuskan penambahbaikan SOP yang boleh menenangkan dan menggembirakan umat Islam sedikit masa lagi, insya-Allah.

Saya mendoakan mudah-mudahan Malaysia terus berada dalam rahmat Allah S.W.T dan bebas daripada wabak COVID-19. Moga Allah S.W.T ampuni kekhilafan kita dan memberi ganjaran yang besar kepada kesungguhan kita mengimarahkan rumah-Nya dalam tempoh pandemik ini.

Sekali lagi, saya berterima kasih kepada YBhg Ustaz atas kesudian menulis surat terbuka kepada saya. Saya mohon maaf andai ada terkasar bahasa dalam warkah yang ringkas ini. Moga ada peluang untuk kita bertemu satu hari nanti. Saya akhiri dengan doa: 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْبَرَصِ وَالْجُنُونِ وَالْجُذَامِ وَمِنْ سَيِّئِ الأَسْقَامِ

“Ya Allah aku berlindung denganMu daripada penyakit sopak, penyakit gila, penyakit kusta dan daripada segala penyakit berbahaya yang lain.”

Saya sayang YBhg. Ustaz dan seluruh jamaah Masjid Darul Falah, Jeram kerana Allah S.W.T.

Yang benar,

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 11/12/2020

Sumber asal: https://www.facebook.com/654227084641097/posts/3935957503134689/

[1] https://www.youtube.com/watch?v=8Aa8PKDKs8k  
[2] https://www.facebook.com/MyJAKIMmalaysia/posts/3698666303517245
[3] https://www.utusan.com.my/berita/2020/12/pembukaan-masjid-surau-tunggu-arahan-sultan-selangor/

- Advertisement -