Mewujudkan kolej universiti al-Quran, manfaatkan sistem wakaf

- Advertisement -

PENDIDIKAN ialah alat transformasi sosial yang sangat berkesan untuk merubah sesuatu masyarakat dan peradaban.

Tamadun dan peradaban Islam bertunjangkan kepada ilmu, dengan ilmu maka Islam merombak sistem nilai jahiliah dan keserakahan duniawi.

Pendidikan juga menjadi alat mobiliti sosial serta agen perubahan dalam msyarakat.

- Advertisement -

Impian untuk saya meraih semaksima mungkin pahala dalam sisa-sisa umur yang berbaki ini ialah untuk mewujudkan sebuah universiti Al-Quran di negara kita berkonsepkan sistem wakaf.

Sistem pengajian Islam dengan fokus kepada ilmu Al-Quran mendapat sambutan yang hangat daripada masyarakat semenjak fenomena kebangkitan semula Islam di negara ini.

Pengalaman saya menubuhkan Tahfiz an-Nur Setiu, Tahfiz an-Nur Besut, SRIDAR an-Nur dan juga membantu penubuhan madrasah dipelbagai tempat memberikan satu mesej intrinsik bahawa umat Islam menyokong dan mendokong institusi pengajian Al-Quran.

Pada awalnya, saya agak skeptikal dengan keinginan ibubapa “melonggokkan” anak-anak mereka di pusat tahfiz sebagai jalan escapism daripada masalah moral dan tahap kognitif rendah anak-anak mereka.

Namun setelah melihat ada ramai kalangan ibu-bapa kelas menengah, atas dan sederhana turut berminat untuk menghantar anak-anak mereka untuk belajar, maka ini mengukuhkan kepercayaan bahawa institusi pengajian Al-Quran mempunyai masa depan yang cerah.

Ada beberapa asas dan rasional untuk menubuhkan sebuah Kolej Universiti Al-Quran walaupun telah ada beberapa kolej Universiti berteraskan pengajian Al-Quran dinegara ini.

Pertama, memandangkan ada puluhan ribu pelajar-pelajar maahad tahfiz, madrasah dan pondok diseluruh negara.

Kelompok santri ini harus diberikan peluang untuk melanjutkan pendidikan tinggi dalam kerangka ruang pendemokrasian ilmu.

Beberapa negara yang sebelum ini menampung pelajar aliran tahfiz dan madrasah mula mengalami kekangan akibat peperangan seperti Yaman dan Syria, manakala Pakistan dan India mula menyempitkan ruang untuk pelajar-pelajar melanjutkan pendidikan tinggi agama.

Ditambah dengan pandemik Covid-19 yang kita tak pasti berapa tahun pula akan menyita waktu untuk pulih seperti sediakala.

Puluhan ribu santri yang belajar diperingkat menengah diseluruh negara, contohnya di negeri Selangor sahaja ada 16,000 pelajar tahfiz.

Bayangkan pula di negeri Kelantan, Terenganu dan Kedah, pasaran untuk pelajar pendidikan tinggi Al-Quran menjadi sangat luas.

Kini, banyak institusi pengajian tinggi yang menawarkan peluang untuk mereka melanjutkan pengajian diperingkat tertiari. Kolej Universiti al Quran An-Nur mungkin boleh menjadi satu lagi pilihan kepada pelajar agama di negara ini untuk melanjutkan pelajaran tinggi.

Belajar di peringkat diploma dan seterusnya setelah selesai diploma boleh menyambung di mana-mana institusi pendidikan di luar negara untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Al-Quran dan juga dalam bidang dakwah.

Insha-Allah Kompleks Pendidikan An-Nur yang terletak di Kampung Alor Belanga, Besut dengan keluasaan yang ada boleh menjadi one stop center pendidikan bermula daripada pra-tahfiz, Sekolah Rendah Tahfiz, Tahfiz Sepenuh masa peringkat pelajar Menengah sehinggalah peringkat pengajian tinggi.

Pengalaman saya berlangbuana ke pelbagai institusi pendidikan swasta termasuk ke Indonesia, Pakistan, Afrika Utara, Algeria, Tunisia, Mesir dan Sudan, saya merasakan perlu adanya sebuah institusi pendidikan tinggi Al-Quran yang dapat memberikan pendidikan kepada anak-anak orang miskin.

Kita merasakan perlu ada sebuah kolej universiti Al-Quran yang berkualiti untuk anak-anak daripada kelompok ini mendapat pendemokrasian pendidikan dengan yuran yang murah.

Semua anak bangsa boleh belajar walaupun mereka tak mampu membayar yuran dan ini boleh diatasi dengan dermasiswa atau zakat.

Antara kampus-kampus popular dengan sistem ini ialah seperti kampus Deoband, Universiti Abu Bakar di Pakistan, Jamiah al Quran di Sudan dan banyak contoh-contoh kampus Islam yang telah berjaya.

Kolej Universiti Al-Quran juga boleh memanfaatkan relawan-relawan pendidikan terutamanya ilmuan yang ingin berbakti, bekas-bekas pensyarah kampus dengan kepakaran pengajian Islam dan mantan guru-guru berijazah yang ingin menyumbang bakti mereka kepada Kolej Universiti Al-Quran An-Nur (KUIQ).

Tenaga akademik dan bukan akademik berstatus relawan ini akan menjimatkan kos perbelanjaan kolej serta munculnya nilai berkat dalam menimba ilmu (saya tidak bermaksud percuma, tetapi dengan bayaran tak tetap yang relatif rendah berbanding nilai kepakaran mereka).

Saya merasa yakin dan percaya ramai rakyat Malaysia yang ingin menyumbang dan mewakafkan harta mereka untuk bekalan di hari akhirat.

Saya mencadangkan kepada muslimin dan muslimat untuk menyumbang harta atau mewakafkan harta mereka, contohnya sekiranya di tempat tuan-puan mempunyai lot tanah untuk diwakafkan.

Tak semestinya perlu mendirikan bangunan, tetapi hasil dari pertanian seperti getah, ladang sawit itu boleh niat diwakafkan kepada Kolej Universiti Al-Quran An-Nur.

Insha-Allah harta wakaf ini nanti akan digunakan untuk menggerakkan kolej dan membiayai pendidikan mahasiswa-mahasiswi.

Lihatlah bagaimana Universiti al-Azhar menerima wakaf umat Islam sejak ratusan tahun, termasuk bekas penyanyi terkenal Ummi Kalthum yang mewakafkan hartanya kepada al-Azhar.

Dalam dunia kontemporari ini masih ada watak-watak Saidina Uthman Bin Affan sebenarnya.

Antara contoh yang sangat piawai dan tersohor ialah Sulaiman ar-Rajhi (Pengasas ar-Rajhi Bank) yang telah mewakafkan billion USD hartanya pada fisabilillah.

Projek untuk menambun tanah KUIQ akan dijalankan pada hujung bulan Disember ini setelah berakhirnya musim banjir.

Kita akan mulakan projek menambun tanah dengan mengambil kira paras paling selamat, waima berlakunya banjir besar di Daerah Agrarian ini. Insha-Allah selepas 10 bulan tanah dipercayai mampat oleh penilai geologi, maka kita akan mulakan projek pembangunan KUIQ yang akan mempunyai fasiliti yang serba lengkap untuk kemudahan mahasiswa mahasiswi.

Teman-teman boleh membantu menjayakan aspirasi dan menggapai cita-cita mulia ini dengan kita mulakan projek menambun tanah sebanyak 300 lori.

Setiap selori tanah bernilai RM100. Doakan Kolej Universiti Al-Quran An-Nur (KUIQ) berjaya membentuk generasi Al-Quran Rabbani, melahirkan para ilmuan, pemikir juga para amilin yang menjadi pembenteng agama ini.

Sekiranya ada dari pihak tuan puan berminat untuk mewaqafkan atau menderma, boleh melawati Facebook Tahfiz An-Nur Besut.

Dr Riduan Mohamad Nor,
Penulis ialah Pengerusi Penubuhan Kolej Universiti al Quran An-Nur. – HARAKAHDAILY 11/12/2020

- Advertisement -