Merafak ampun: Kesusilaan adab budaya Melayu

- Advertisement -

HARI ini penuh reaksi maya terhadap kenyataan media mohon maaf dari tiga ADUN PAS Perak. Saya mengikuti reaksi tersebut satu persatu. Ternyata ramai yang keliru. Pertama saya ingin jelaskan ia bukan reaksi dari ‘sembah derhaka’ yang pernah menggegarkan Perak akibat arahan Sultan agar Menteri Besar meletak jawatan. 

Sangat berbeza dengan situasi kini. Namun oleh kerana ia telah menguasai pemikiran rakyat Perak apatah lagi kebanyakan yang komen itu adalah penyokong tegar PAN, maka paradigma itu menguasai cara komen mereka. 

- Advertisement -

Apabila konteks berbeza dilabel dalam kes berbeza, tentulah hukumnya berbeza. Maka tersebarlah kejahilan yang diulas dalam kegelapan. Semakin ramailah si buta meraba-raba. Konteks PAS Perak ialah menjunjung adat.

Telah saya nyatakan sebelum ini betapa PAS sangat menghormati Istana kerana ia payung agama dan bangsa. Maka menjunjung adat memuliakan kedudukan Baginda Sultan, maka sembah maaf dirafak agar jernih kekeruhan dan kekhilafan.

Adat Melayu sangat takut dan bimbang jika gagal penuhi hasrat orang yang disanjung tinggi. Antara hadir tanpa keputusan yang pasti mengecewakan Sultan atau mohon tangguh agar ada keputusan yang merupakan tujuan Sultan memanggil. Di situlah khilaf PAS Perak dalam kekalutan yang memerlukan keputusan dan segerakan tindakan. PAS sangat memuliakan Istana. Bimbang ada khilaf tanpa sengaja, maka sembah maaf adalah pilihan utama. 

Ada yang menuduh kononnya kerana tidak dilantik jawatan Exco. Perlu diingat bahawa PAS Pusat telah dari awal sebelum majlis angkat sumpah Menteri Besar mengarahkan PAS Perak hadir mengadap Tuanku di Istana. Berbetulan surat mohon mengadap Tuan Guru Presiden ke istana, maka sangat molek PAS Perak merintis jalan dengan permohonan maaf. 

Adat sanjungan budi ini memang sukar dimengerti oleh mereka yang bergelumang dengan golongan anti agama dan bangsa Melayu. Mereka tidak dididik oleh adab dengan Istana. Kerana itu tidak hairan seorang Melayu Islam bergelar ustaz secara terbuka membuat perancangan menghapuskan institusi Istana. Ia diangkat menjadi Pegawai Khas seorang Ketua Menteri sebuah negeri. 

Akhirnya suka saya jelaskan, bagi mereka yang dididik dengan adab budaya bangsa sangat teruja dengan kesusilaan PAS Perak merafak ampun maaf kepada Baginda Sultan Perak atas khilaf yang mungkin berlaku di kala kekalutan mengurus pertembungan politik Negeri Perak. Sesungguhnya Istana adalah payung rakyat beragama. Jangan ada yang memutuskan hubungan itu dengan hasutan kebencian. 

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 11/12/2020

- Advertisement -