‘Sarawak Darul Hana’: Hentikan manipulasi!

- Advertisement -

IKATAN Graduan Melayu Sarawak (IGMS) memandang berat terhadap beberapa buah pertubuhan dan orang perseorangan dari masyarakat Dayak yang cuba mengeruhkan perasaan perkauman di kalangan penduduk Sarawak dengan mengungkit nama ‘Sarawak Darul Hana’. Pada masa dua minggu lalu mereka telah membangkitkan keresahan dengan menyebarkan kenyataan dalam media sosial secara bertulis, audio dan video yang telah menjadi viral.

Justeru itu, IGMS bersama sembilan NGO Melayu dengan ini membantah sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan oleh lima pertubuhan Dayak pada 6 Disember 2020. Kenyataan mereka ini mengandungi unsur fitnah, fakta palsu dan andaian yang dimanipulasikan. Semua ini harus diperbetulkan demi menjaga keamanan dan keharmonian di Negeri Sarawak.

- Advertisement -

Nama ‘Sarawak Darul Hana’ adalah warisan hak adat Bumiputera Melayu Sarawak. Dua patah perkataan Arab ‘Darul Hana’ bererti ‘Negeri Bahagia’ dan dalam Bahasa Inggeris ‘Happy Country’ yang tidak mempunyai unsur agama. Apakah mereka tidak mahu menjadikan ‘Sarawak, A Happy Country’?

Seperti kaum lain yang mempertahankan dan memajukan warisan dan kebudayaan masing-masing, maka warga Melayu Sarawak sebagai kaum Bumiputera dan Orang Asal mempunyai hak yang sama dengan kaum-kaum lain. Oleh kerana pengalaman sejarah Melayu Sarawak berbeza dengan kaum Dayak maka warisan dan kebudayaan Melayu Sarawak berbeza. Perbezaan ini mesti dihormati sebagai hak Bumiputera oleh kaum lain di Sarawak dan Malaysia.

Melayu Sarawak mewarisi kebudayaan civilizational yang berbeza dengan warisan tribal kaum-kaum Bumiputera yang lain. Melayu Sarawak memiliki warisan kenegaraan dan pemerintahan dengan mendirikan banyak negeri awal sebelum menjadi jajahan takluk (vassal states) Kesultanan Melayu Brunei. Melayu Sarawak telah mendirikan banyak negeri, iaitu seperti Negeri Santubong-Sarawak (300SM), Negeri Kalaka (1368), Negeri Samarahan, Negeri Saribas (1450), Negeri Banting (1690) dan Negeri Baram. Justeru itu nama ‘Sarawak Darul Hana’ adalah sebahagian daripada sejarah dan warisan Melayu Sarawak yang hak dan telah diiktiraf oleh James Brooke sendiri dalam Perjanjian 1841. Jika tidak jahil sejarah nama ‘Sarawak’ kemudian dijadikan nama untuk Negeri Sarawak yang terbentang luas dari Tanjung Datu hingga ke Merapok. Justeru itu nama ‘Sarawak Darul Hana’ mempunyai hak untuk digunakan sebagai warisan hak adat Melayu Sarawak.

Nama ‘Darul Hana’ ini telah menjadi terkenal selepas sebuah jambatan yang merintangi Sungai Sarawak di tengah bandar raya Kuching telah dinamakan Darul Hana. Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak, Pehin Sri (Dr.) Abdul Taib Mahmud telah merasmikan jambatan ini pada 13 November 2017.

Jambatan yang berbentuk ‘S’ telah diilhamkan oleh seni budaya masyarakat Bidayuh dan telah mendapat sambutan yang meluas. Penduduk bandar raya Kuching, penduduk seluruh Sarawak dan juga pelancong sangat tertarik dengan projek kerana telah memberikan pengalaman baharu berjalan kaki menyeberangi Sungai Sarawak.

Sejak dirasmikan pada tahun 2017 sehingga hampir genap tiga tahun, penduduk Sarawak dan pelancong hanya bercakap mengenai keunikan dan keindahan Jambatan Darul Hana.

Bagaimanapun sejak dua minggu yang lalu telah muncul sebuah rakaman audio dan pada 6 Disember 2020 beberapa lima pertubuhan Dayak dan beberapa orang perseorangan telah mengeluarkan kenyataan bantahan. Jika diteliti kenyataan pertubuhan-pertubuhan ini kami mendapati sama ada fakta sejarah yang salah ataupun kenyataan yang palsu dan jahil seperti berikut:

(1) “Sejak penubuhan kerajaan moden Sarawak pada 1841, nama Darul Hana tidak pernah digunakan sehingga sekarang …”. Seperti dinyatakan oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak semasa merasmikan Jambatan Daru Hana pada 2017 bahawa Sultan Tengah telah menggunakan nama ‘Sarawak Darul Hana’ sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan merdeka dari Kesultanan Brunei Darussalam dari tahun 1599 hingga 1647. Selepas itu semasa Zaman Brooke ada buku sejarah yang diterbitkan pada tahun 1932 telah juga menggunakan nama Sarawak Darul Hana. Ia telah diterbitkan oleh Sarawak Printing Company. Kenyataan mereka adalah satu pembohongan!

(2) “Satu perkara lagi yang perlu diketahui, Sarawak ditubuhkan pada 1841 hingga mencapai kedudukan sekarang dalam 1904 bukanlah kesinambungan Kerajaan Sultan Tengah yang hanya wujud dan bertahan dari 1627 hingga 1657 [sic].” Ayat ini mengandungi logika yang songsang dan fakta yang salah kerana nama negeri ‘Sarawak’ asalnya adalah kawasan pemerintahan Sultan Tengah, iaitu dari Tanjung Datu, lembah Sungai Sarawak dan Batang Samarahan. Kerajaan Sultan Tengah telah disambung oleh bangsawan Perabangan yang telah dilantik oleh baginda dan kemudian diiktiraf oleh James Brooke, seperti Datu Patinggi Ali untuk mentadbir Sarawak. Pertubuhan-pertubuhan tersebut yang sebenarnya jahil sejarah kerana tidak mengetahui bahawa Kerajaan Negeri Santubong telah berpindah ke Lidah Tanah dan kemudian ke Sarawak (Kuching).

(3) “Katanya rata-rata tulisan sejarah yang ada menyifatkan Brunei sebagai Kerajaan ‘Thalassocracy’ iaitu kerajaan ‘kuasa laut’, selain catatan sejarah mengenai pengaruh Kerajaan Sultan Brunei pada zaman penubuhan Kerajaan Sarawak oleh Raja Brooke hanyalah terhad di persisiran pantai.” Ayat ini mengandungi kejahilan mengenai sejarah. Pentafsiran Kesultanan Brunei sebagai Kerajaan Thalassocracy adalah tidak bernas. Jika dikaji dengan teliti pemerintahan Kesultanan Brunei tidak terhad di kawasan pantai. Pembesar dan pedagang Kesultanan Melayu Brunei sebenar telah memerintah dan berdagang hingga ke pedalaman Borneo dan masih tinggal di pedalaman, contohnya seperti di Baram (Marudi), Belaga, Ulu Layar, Ulu Skrang dan Ulu Lemanak. Di lembah Sungai Kapuas terdapat negeri-negeri Melayu seperti Kerajaan Putus Sibau, Kerajaan Sintang, Kerajaan Malawi, Kerajaan Sanggau dan Kerajaan Sekadau yang semuanya terletak di pedalaman Borneo dan menerima pengaruh Brunei dalam pemerintahan mereka. 

(4) “Oleh demikian, istilah penggunaan ‘Sarawak Darul Hana’ adalah pemikiran yang jahil, menghidupkan semula ideologi [sic] pemerintahan Sultan Tengah agak kurang cerdik dan boleh menggugat keharmonian yang dinikmati oleh kepelbagaian kaum di Sarawak pada hari ini.” Ayat ini adalah hasil pemikiran cetek. Zaman Kesultanan Melayu Brunei yang pernah memerintah kawasan seluas Negeri Sarawak yang ada pada masa ini adalah dalam ruang lingkup Hak Adat Bumiputera, iaitu merupakan warisan Melayu Sarawak, Melayu Brunei, Kedayan dan Vaie Segan. Nama, Sarawak Darul Hana adalah warisan Bumiputera ini. Malah James Brooke dalam Perjanjian 1841 dan diikuti oleh sumpah Charles Brooke (1870) dan Vyner Brooke (1917), berjanji “Moreover James Brooke Esquire undertakes that the laws and customs of the Malays of Sarawak shall forever be respected since the country of Sarawak has hitherto been subject of the government of the Sultan of Brunei, the Pangeran Muda and the Malayan rajas.” Jelas dinyatakan secara bertulis dalam Jawi-Melayu janji James Brooke yang mereka agung-agungkan.

(5) “… belum pernah secara rasmi dalam badan perundangan di Malaysia mengiktiraf Sarawak sebagai ‘Sarawak Darul Hana’ dan untuk mengubah entiti itu tidak pernah dipersetujui sejak Sarawak diisytiharkan sebagai rakan kongsi penubuhan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).” Sarawak Darul Hana adalah adat warisan Melayu Sarawak yang harus dihormati dan diterima seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Hujah-hujah dalam kenyataan lima pertubuhan Dayak yang membantah penggunaan nama ‘Sarawak Darul Hana’ telah dapat dipatahkan dengan mudah kerana mereka yang sebenarnya jahil dalam banyak perkara. Mereka mempunyai niat jahat untuk menafikan hak adat Bumiputera Melayu Sarawak yang telah diiktiraf secara bertulis. Sebenarnya mereka yang mencetuskan sentimen perkauman di Sarawak.

Kenyataan ini disokong oleh 14 pertubuhan NGO Melayu Sarawak seperti berikut:

(1) Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS)
(2) Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS)
(3) Persatuan Melayu Limbang
(4) Persatuan Melayu Miri
(5) Persatuan Vae Segan Bintulu
(6)Persatuan Kedayan Kuching
(7) Persatuan Warga Islam Saribas 
(8) Persaudaraan Islam Betong
(9) Persatuan Anak Jati Lawas Kuching
(10) Persatuan Jati Miriek Sarawak
(11) Persatuan Anak Kabong
(12) Pertubuhan Pembangunan dan Lindungan Tanah Hak Melayu Sarawak (BAHAM)
(13) Pertubuhan Sejarah dan Warisan Kuching (SAWAKU)
(14) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Sarawak

SAMSOL MORSHIDI BUJANG
Setiausaha, Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) – HARAKAHDAILY 10/12/2020

- Advertisement -