Kepentingan semua kaum keutamaan Kerajaan Sarawak

- Advertisement -

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak sentiasa mengambil pendekatan pemerintahan yang mengutamakan kepentingan semua kaum di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.

Katanya, dasar pemerintahan negeri ini adalah berpaksikan pada kepentingan Sarawak dengan berlaku adil kepada semua kaum dan amalan ini telah dipraktikkan sejak zaman Ketua Menteri ketiga, Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’kub sehinggalah sekarang.

- Advertisement -

“Dasar kerajaan pimpinan kita daripada Allahyarham Tun (Abdul) Rahman, Tun (Abdul) Taib (Mahmud), (Pehin Sri) Adenan (Satem dan) saya adalah Sarawak-centred (berpaksikan Sarawak)… bukan kaum centred (berdasarkan kaum),” katanya ketika berucap merasmikan upacara pecah tanah untuk pembinaan bangunan Wisma Melayu Sarawak di Jalan Diplomatik di sini. 

Menurutnya, corak pemerintahan yang adil ini telah membolehkan kerajaan Sarawak mencapai pelbagai kejayaan dalam usaha untuk memperjuangkan hak negeri ini. 

“(Dalam) dua tiga hari ini bertambah-tambahlah kejayaan kita (memperjuangkan hak-hak Sarawak) termasuk rundingan dengan Petronas. Ini memberi banyak kesan kepada kita walaupun (ada) orang yang menyangkalnya (dengan mendakwa) kita mengalah (dalam rundingan itu). Biarlah masa yang menentukan,” katanya.
 
Abang Johari berkata pembinaan Wisma Melayu Sarawak ini juga merupakan satu lagi bukti keterangkuman pemerintahan negeri ini untuk menyediakan kemudahan kepada semua kaum setelah pelbagai projek pembangunan Yayasan Kebudayaan Dayak dan Bangunan baru Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan diluluskan, sebelum ini.

Menurutnya, satu lagi bangunan untuk masyarakat Orang Ulu sedang dirancang pembinaannya dan beliau dijangka menyempurnakan upacara pecah tanah projek itu Januari depan.

Sementara itu, pengerusi penganjuran majlis itu, Datuk Naroden Majais berkata Wisma Melayu Sarawak ini merupakan projek Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) yang mewakili seluruh penduduk Melayu Sarawak serta masyarakat Islam lain seperti Kedayan, Melanau, Vaie Segan, Jati Miriek dan lain-lain.

Ia merupakan terjemahan kepada idea yang dicetuskan Ketua Menteri Sarawak yang kelima, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem supaya satu mercu tanda Melayu Sarawak didirikan. 

Pembinaan Wisma Melayu Sarawak ini merupakan projek fasa pertama di kawasan seluas 2.43 hektar dan fasa kedua pula di kawasan seluas 2.02 hektar yang akan melibatkan pembinaan sebuah blok pejabat, hotel bajet dan ruang perniagaan.

“Wisma Melayu Sarawak ini akan mempunyai dewan serbaguna yang boleh menampung 2,000 orang, galeri sejarah dan budaya Melayu, surau, bilik fungsi, kafe, pentas terbuka, taman budaya dan pejabat AKYBMS. Pembinaannya akan mengambil masa selama 24 bulan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -