Wat Paya Mat Inson bakal dapat perkhidmatan 4G

- Advertisement -

CYBERJAYA: Kerja menaik taraf liputan perkhidmatan jalur lebar di Kampung Wat Paya Mat Inson, di Pendang, Kedah daripada taraf 3G kepada 4G dijangka selesai pada Februari 2021.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya juga akan berusaha mempercepatkan pelaksanaan naik taraf liputan berkenaan di kampung sekitar seperti Kampung Baloh dan Kampung Huma.

“Penilaian lanjut akan turut dibuat bagi memastikan kelompongan liputan di kawasan sekitar kampung berkenaan dapat diperbaiki. 

- Advertisement -

“Dengan terlaksananya penaiktarafan ini kelak, penduduk akan dapat menikmati liputan perkhidmatan 4G yang mampu memberikan pengalaman jalur lebar yang lebih baik, terutamanya ketika anak-anak mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian,” katanya.

Menurut MCMC, Exco Kedah Wan Romani Wan Salim dan Pengerusi MCMC Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek telah mengadakan sesi dialog bersama penduduk kampung yang terdiri daripada masyarakat Siam pada 9 Disember (semalam), susulan aduan mengenai proses pembelajaran anak-anak secara dalam talian yang terganggu berikutan kelajuan jalur lebar tidak memuaskan.

MCMC berkata inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang sedang dilaksanakan MCMC bersama syarikat-syarikat telekomunikasi menyasarkan perluasan liputan 4G kepada 96.9 peratus kawasan berpenduduk menjelang akhir 2022 dengan purata kelajuan internet ditingkatkan kepada 35Mbps. – BERNAMA

- Advertisement -