Peruntukan RM16 juta penuhi keperluan industri hiliran tempatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM16 juta pada tahun 2021 sebagai permulaan projek pembangunan Koridor Lateks Timur yang merangkumi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi memenuhi keperluan industri hiliran tempatan yang menggunakan lateks termasuk sarung tangan getah.

Menurut Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi I, Willie Anak Mongin perkara itu dijangka akan memberi manfaat kepada sebahagian dari 138,000 pekebun kecil di ketiga-tiga negeri yang mahu meningkatkan pendapatan.

- Advertisement -

Beliau berkata, pihak kementerian juga sedang membangunkan projek pusat pemprosesan getah berkelompok melalui pakej teknologi pemprosesan getah krip dan serum getah bersepadu yang telah dibangunkan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM).

“Melalui projek ini, rantaian nilai bersepadu bekalan getah berskala komersial dengan elemen pemprosesan berkelompok (kluster) dan perkongsian keuntungan (profit-sharing) akan dilaksanakan pada peringkat pekebun kecil, koperasi dan juga usahawan.

“Usaha ini akan meningkatkan kualiti getah yang dihasilkan, meningkatkan pendapatan dan seterusnya menjamin bekalan getah berkualiti kepada industri pembuatan produk getah negara,” katanya.

Dalam pada itu katanya, bagi merealisasikan usaha ini, kementeriannya akan memperuntukkan dana awal sebanyak RM6 juta melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) untuk melaksanakan projek tersebut

Sebelum itu, beliau turut menjelaskan berkenaan peratusan susu getah yang dibekalkan secara domestik oleh ladang Malaysia kepada industri getah pengeluaran getah Malaysia pada tahun 2019 adalah berjumlah hampir 640,000 tan.

“Bagi sektor pembuatan barangan getah kering, hampir keseluruhan bahan mentah adalah daripada sumber tempatan. Bagi sektor pembuatan barangan getah berasaskan lateks pula, hanya 8.3 peratus adalah daripada sumber tempatan manakala hampir keseluruhan bakinya diimport dari Thailand.

Sementara itu katanya, kerajaan akan meneruskan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dengan peruntukan sebanyak RM300 juta pada tahun 2021 bagi memastikan pengeluaran getah domestik yang berterusan di peringkat huluan di samping menjamin kebajikan pekebun kecil getah ketika krisis kejatuhan harga getah.

Katanya, sejak IPG diperkenalkan sehingga 30 September 2020, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM364.36 juta bagi 535,000 tan metrik getah merangkumi hampir 2.78 juta tuntutan daripada 184,000 pekebun kecil di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab lisan bagi menjawab pertanyaan Wong Chen [PH-Subang] bagi menyatakan berkenaan peratusan susu getah yang dibekalkan secara domestik oleh ladang Malaysia kepada industri getah dan langkah kewangan yang perlu diambil untuk memperluaskan rantaian bekalan domestic, di Dewan Rakyat, hari ini. – HARAKAHDAILY 8/12/2020

- Advertisement -