YADIM semarak dakwah di seluruh pelusuk Pahang

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Pahang yang memulakan operasinya pada 2 November lalu semakin giat memulakan gerak kerja apabila mensasarkan pelantikan 100 sukarelawan di setiap Parlimen.

- Advertisement -

Penolong Pengarah YADIM Pahang, Mohd Amirul Mukmin Abdullah berkata, ia bertujuan melebarluaskan dakwah ke seluruh pelusul bandar dan desa demi menyempurnakan tanggungjawab sejajar tuntutan Allah dan Rasul.

“YADIM akan melatih anak-anak muda supaya boleh berdakwah di peringkat sekolah dan universiti di bawah program ‘YADIM Murabbi’, selain ‘YADIM Lestari’ untuk aktiviti pembersihan alam sekitar dan tempat awam.

“Manakala di bawah program ‘YADIM Maya’ semua ceramah boleh ditonton dengan mudah di mana-mana sahaja melalui Youtube, Facebook dan lain-lain medium media sosial lain,” ujarnya pada Semarak Dakwah di Balai Nelayan Pantai Beserah, di sini kelmarin dahulu.

ADUN Beserah, Andansura Rabu yang turut hadir pada majlis ini menyeru agar gerak kerja dakwah diperkasakan dengan menyemarakkan seruan kepada kebaikan dan mencegah setiap kemungkaran.

“Usaha dakwah mesti dilakukan oleh semua pihak, bukan mereka yang bergelar ustaz ustazah sahaja. Malah setiap hamba Allah berperanan memakmurkan bumi ini,” ujarnya turut menyampaikan sumbangan YADIM kepada asnaf DUN Beserah.

Program ini juga diisi dengan ceramah disampaikan Penolong Kanan Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan, Ustaz Jasrifuddin Puteh dan serahan watikah kepada sepuluh Sukarelawan YADIM Indera Mahkota.

Terdahulu program dimulakan dengan kuliah Subuh disampaikan Koordinator Sukarelawan YADIM Indera Mahkota, Ustaz Zainal Abidin Mohamad di Masjid As-Syakirin Damansara, Kuantan, di sini.

Penutup program diadakan ziarah dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia Pahang diketuai Pengerusinya, Johari Abdul Wahid ke kediaman para asnaf yang uzur di Kampung Pantai Beserah. – HARAKAHDAILY 1/12/2020

- Advertisement -