Gavaks ‘tin kosong’ bising kempen antivaksin

- Advertisement -

SEKALI lagi antivaksin cuba kelirukan masyarakat. Hujah yang cuba dibawa adalah kematian dua orang bayi pada tahun 2009 [1]. Atas nama kealpaan masyarakat yang tidak membaca penuh laporan, mereka cuba memanipulasi laporan yang dibuat oleh MADRAC itu.

KKM melalui NPRA adalah badan telus yang menyediakan laporan setiap kesan sampingan ubat termasuk juga vaksin. Orang ramai boleh membacanya dengan bebas. Cuma pelaporan adalah dalam Bahasa Inggeris dan termasuk juga perkataan perubatan yang menjadikan orang ramai sukar memahami. Tambah pula Gavaks yang sudah anti dengan perubatan moden, mereka akan cuba sedaya upaya untuk terus mengelirukan.

Namun bukan menjadi halangan bagi orang awam untuk terus bertanya, tetapi bertanyalah kepada orang yang mahir dan berautoriti dalam bidang tersebut. Bukannya bertanya kumpulan pro-pilihan a.k.a Gavaks! Bahkan majoriti dari mereka bukan doktor perubatan pun.

Dua kes tersebut tidak boleh dituduh akibat vaksin. Perkataan ‘probable’ adalah bermaksud kemungkinan berlaku kesan advers termasuk ruam, deman dan bengkak selepas vaksin, tetapi kematian bukan berpunca dari itu. Penentuan sahih perlu dibuat melalui bedah siasat (post-mortem). Justeru, ia tidak boleh dikaitkan kerana post-mortem tidak dibuat atas keengganan keluarga.

- Advertisement -

Maka di sinilah perkataan kebetulan boleh digunakan bagi kefahaman orang ramai. Ini kerana terdapat jarak masa yang munasabah antara pemberian vaksin dan kematian, tanpa ada punca kematian yang jelas. Istilah perubatan menyebut ‘Temporal Relationship’. Contohnya, seorang baharu dapat kereta baru, tiba-tiba sehari lepas itu, meninggal akibat serangan sakit jantung. Adakah kereta baru itu menyebabkan sakit jantung? Tidak. Tapi di situ ada hubung kait masa, ‘temporal relationship’ berlaku. 

Dalam masa yang sama tiada kes lain lagi yang menggunakan vaksin jenis itu, batch (pengeluaran serentak) itu mempunyai masalah serupa. Oleh demikian konklusi dari laporan MADRAC (terdiri daripada pakar-pakar pelbagai bidang) itu menyatakan tiada keperluan perundangan atau pentadbiran (regulatory) untuk menarik balik semula semua vaksin yang sama di premis kesihatan atau di pasaran. Kejadian itu kebetulan berlaku dan tidak mewajibkan kerajaan menarik balik keseluruhan batch vaksin tersebut. Program imunisasi diteruskan oleh kerajaan sehingga saat ini dan tiada berlaku kejadian yang sama dalam negara kita.

Isu auta dan manipulasi laporan sebegini bukan sahaja di Malaysia, tetapi Gavaks luar negara pun menggunakan teknik yang sama. Lihat tulisan jurnal oleh Miller pada tahun 2015 yang merujuk kepada gerakan antivaksin Amerika yang menuduh kematian bayi berpunca dari vaksin MMR [2]. Argumen yang mereka buat adalah memanipulasi data dari US Vaccine Adverse Event Reporting System (VAERS). 

Sudahlah mereka membacanya dengan prejudis dan mengulas dalam pelbagai blog mengutuk pemberian vaksinasi, mereka lantang menolak vaksin. Sehingga kini Amerika Syarikat tidak pun memberhentikan program imunisasi mereka dek kerana tuduhan melulu kumpulan itu. Jika benar terlalu serius dengan pendedahan yang mereka berikan, sudah pasti program pemberian imunisasi diberhentikan di Amerika, bahkan seluruh dunia. Negara Itali yang cenderung kepada kumpulan antivaksin pun masih mengekalkan mandatori pemberian imunisasi kepada rakyat mereka [3].

Sewaktu kumpulan Gavaks ini bertemu dengan YBMK satu ketika dahulu, satu soalan saja YBMK tanya.

‘Adakah tuan atau puan ingin hentikan National Immunization Programme (NIP)?’

Jawapan mereka: ‘Senyap sekejap’, cuma kedengaran di hujung telinga suara sayup –‘Tidak’.

Tetapi, di dalam media sosial mereka ini pong-pang pong-pang macam tin kosong duk kutuk vaksin. Sebenarnya mereka terpenjara dengan fobia buatan mereka sendiri.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 1/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -