PEKAN: Kewibawaan PAS membawa tema ‘Islam Memimpin’ dalam pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mesti dilihat terhadap usaha membawa cara hidup yang didatangkan Allah S.W.T kepada umat Nabi Muhammad S.A.W.
Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah menjelaskan, konsep itu mesti membawa matlamat Islam itu sendiri iaitu memberi kesejahteraan, kebahagiaan dan kejayaan hidup manusia di dunia dan akhirat.
Kerana tegasnya, Islam didatangkan daripada Allah yang dituntut untuk dihayati setiap manusia dan menjadi panduan dalam kehidupan termasuk dalam aspek bernegara atau pemerintahan kerajaan.
Kupasan tersebut dinyatakan beliau dalam Facebook Live Ameerah Pekan membicarakan tajuk “Sejauh Mana Pencapaian ‘Islam Memimpin’ Di Bawah Kerajaan PN?” pada malam kelmarin dahulu.
Menurutnya, PAS menyedari betapa gagasan ‘Islam Memimpin’ itu menjadi perhatian pihak lawan dan kawan termasuk akar umbi penyokong yang segera menilai dan menjadikannya penanda aras kebolehan PAS menerajui negara.
Namun jelasnya, PAS sememangnya membawa konsep ‘Islam Memimpin’ kepada seluruh rakyat Malaysia dan menegaskan pentingnya untuk Islam memimpin manusia khususnya ke atas umat Islam itu sendiri.
Menyentuh inisiatif Kerajaan PN yang berusia setahun jagung ini, beliau memaklumkan mengenai usaha pemerkasaan Islam menerusi pembangunan dan pengurusan Hal Ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri sendiri.
Malah beritahunya, Belanjawan 2021 baharu ini memperuntukkan RM1.4 bilion kepada hal ehwal itu yang bakal memberi manfaat kepada pihak berkaitan seperti imam, bilal, guru KAFA, institusi pendidikan Islam dan lain-lain.
Juga terangnya, bagi mengangkat lagi usaha modal insan menerusi gemblengan secara holistik melibatkan agensi seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dalam menerajui kelahiran generasi Rabbani.
Ketika sama, Ustazah Nuridah turut berpesan supaya akar umbi parti supaya berwaspada dengan fitnah yang sentiasa dilemparkan kepada PAS bagi menggugat kepercayaan terhadap pimpinan dan parti.
Oleh itu katanya, ahli perlulah mendapatkan maklumat daripada sumber yang tepat. – HARAKAHDAILY 1/12/2020