Kerajaan bertindak seperti seorang ‘ayah’

- Advertisement -

PENULIS ada membaca hantaran Facebook seorang aktivis media sebuah parti yang mencaci Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dengan kata-kata yang sangat kasar dengan menggelarkan Ustaz Ahmad Fadhli sebagai ‘barua’ dan ‘parasit’ di samping menuduh Ustaz Ahmad Fadhli tidak menyokong hasrat rakyat. Ia berkaitan dengan pendirian Ustaz Ahmad Fadhli yang tidak bersetuju pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium secara automatik kepada semua rakyat seperti yang dituntut oleh Ahli Parlimen Pekan Dato’ Sri Najib Tun Razak.

Bagi penulis dalam perbincangan soal ekonomi ini kita harus profesional dan bukan bercakap umpama ‘kutu berahak’. Teori ekonomi ada banyak. Segala teori tentang ekonomi ini ada alasan-alasan yang menyokong sesuatu teori. Bukan secara ‘semberono’.

- Advertisement -

Sebenarnya memang moratorium itu tidak melibatkan belanja kerajaan, tapi ia sebenarnya akan memberi tekanan kepada bank. Bayangkan selama setahun bank tidak boleh kutip hutang. Siapa boleh berniaga menjual barang tetapi hanya akan menerima bayaran selepas setahun? Jika anda rasa kenyataan penulis ini salah kerana mempertahankan bank yang sudah kaya baca dahulu hingga habis rencana ini.

Bukan mahu mempertahankan bank. Mereka yang belajar ilmu ekonomi tahu yang ekonomi ini berkait antara satu sama lain. Bila bank tidak dapat mengutip semula pinjaman maka mereka tidak cukup dana. Bila mereka tidak cukup dana mereka akan berhenti atau mengurangkan aktiviti memberi pinjaman kepada orang ramai.

Jika kita membaca laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan kerajaan baru-baru ini menyatakan bahawa pada akhir Julai 2020 pinjaman isi rumah berkurangan dengan pinjaman yang diluluskan merosot sebanyak 30 peratus kepada RM88.9 bilion. Ini faktanya!

Pinjaman yang disalurkan kepada sektor isi rumah juga berkurangan sebanyak 16.3 peratus kepada RM165.3 bilion terutamanya kredit penggunaan (13.1 peratus daripada jumlah pinjaman) diikuti pembelian harta tanah kediaman (6.36 peratus) dan sekuriti (2.76 peratus).

Selain menyebabkan bank mengurangkan pinjaman kepada orang ramai keadaan ini juga akan mengurangkan keuntungan bank. Berapa banyak bank yang merupakan GLC dan menjadi penyumbang kepada pendapatan kerajaan dan badan-badan berkanun seperti Tabung Angkatan Tentera, KWSP dan amanah-amanah saham yang akan berkurangan hasil dividen mereka kerana bank tidak dapat memberi dividen kerana rugi.

Adakah sebagai seorang Ahli Parlimen kita boleh berkata bahawa pemberian moratorium ini harus diberi secara automatik kerana semua rakyat terkesan? Benarkah semua rakyat terkesan? Apa fakta yang menyokong bahawa semua rakyat terkesan? Apa tahap seorang wakil rakyat yang bercakap tanpa data dan fakta?

Penulis berharap jangan pula ada ahli politik yang mengambil kesempatan membuat tuduhan borong bahawa Ustaz Ahmad Fadhli tidak menyokong moratorium dan pengeluaran KWSP. Jangan jadi jahat! Jangan ambil kesempatan membenamkan orang lain untuk jadi popular di mata rakyat!

Kena faham bahawa ustaz Ahmad Fadhli bukan tidak menyokong, cuma moratorium dan pengeluaran ini mesti bersasar kepada mereka yang benar-benar terkesan sahaja. Itu yang dimaksudkannya. Nak bincang soal ekonomi kena tengok dari sudut mikro dan makro ekonomi. Kesannya akan balik kepada rakyat, umpama meludah ke langit akan jatuh ke muka sendiri!

Sebenarnya kerajaan perlu bertindak seperti seorang ‘ayah’ yang bertanggungjawab. Ayah perlu bijak mengatur apa yang baik untuk anak-anak mereka. Sesetengah anak-anak kalau boleh mereka tidak mahu pergi sekolah atau mahu mereka dibenarkan merokok walaupun mereka masih bersekolah. Adakah ayah yang baik akan menggembirakan anak mereka dan menjadi ayah yang disayangi dengan membiarkan anak-anak tidak ke sekolah atau benarkan mereka merokok?

Anak-anak mungkin mahukan permainan yang mahal. Ayah harus tahu adakah dia mampu untuk membelikan permainan itu untuk anak-anak mereka. Adakah sebagai ayah yang sayangkan anak dia sanggup membeli permainan itu dan kemudiannya, kerana tidak cukup duit, dia tidak membayar ansuran bulanan kereta? Kerana itu keretanya ditarik oleh pihak bank dan akhirnya menyusahkan seluruh keluarganya sendiri. Ini sekadar anologi peranan kerajaan dan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Sesiapa yang biasa terlibat dengan program bantuan kebajikan pasti tahu tentang sikap sesetengah rakyat yang pura-pura susah semata-mata kerana mahu mendapatkan bantuan. Ini wujud. Jadi di sebalik rakyat yang benar-benar terkesan dan susah kerana Covid-19 ini memang ada rakyat yang cuba mengambil peluang menangguk laba daripada kerajaan. Ini wujud.

Berkaitan dengan KWSP pula, cuba kita amati apakah semangat di sebalik penubuhan KWSP ini? Mengapa ia diwujudkan? KWSP ini diwujudkan adalah untuk memastikan rakyat mempunyai simpanan di hari tua. Kerajaan tahu bahawa sikap kebanyakan orang mereka sukar untuk menyimpan jika tidak dipaksa. Sedangkan ia penting untuk hari tua mereka.

Sebagai seorang ayah yang tahu sikap anak-anaknya, kerajaan pun mewajibkan caruman KWSP. Bayangkan jika KWSP ini adalah sukarela, agaknya berapa ramai pekerja dan berapa banyak majikan yang akan secara sukarela membuat potongan dan caruman? Inilah peranan kerajaan.

Sekiranya kerajaan membenarkan semua orang mengeluarkan duit KWSP mereka walaupun mereka tidak terjejas dengan Covid-19 maka akan ada antara rakyat yang tidak terjejas yang akan ‘joli katak’ dan membeli barangan yang tidak perlu daripada duit KWSP yang mereka keluarkan itu.

Suatu masa dahulu KWSP pernah membuat kajian tentang berapa ramai pencarum yang habis wang KWSP mereka hanya beberapa tahun selepas mereka mengeluarkan semua caruman selepas bersara. Itu dalam keadaan tiada pengeluaran secara besar-besaran seperti yang dituntut sesetengah ahli politik sekarang ini!

Bayangkan sepuluh tahun lagi mungkin rakyat Malaysia yang bersara akan merungut kerana wang KWSP mereka tidak cukup untuk menampung perbelanjaan hari tua mereka. Pada masa itu pembangkang akan menyalahkan kerajaan kerana memberi kebenaran rakyat mengeluarkan sebahagian besar wang KWSP mereka secara automatik semasa bencana Covid-19 sepuluh tahun sebelum itu.

Kemudian kerajaan akan menjawab “Kami sekadar menunaikan hasrat rakyat untuk mengeluarkan wang KWSP mereka tanpa bersasar”. Masa itu pembangkang akan berkata “Sebagai kerajaan anda sepatutnya lebih tahu apa yang baik dan apa yang tidak baik untuk rakyat. Sebab itu anda diangkat sebagai pemimpin.”

Masa tu rakyat salahkan kerajaan, dan pembangkang lebih-lebih lagi salahkan kerajaan. Apa kerajaan nak buat kalau itu yang terjadi nanti?

IBNU JANIE
Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -