Mencari ‘kambing hitam’ di Sungai Selangor

- Advertisement -

HARI ini di Malaysia, semua perkara jadi modal politik. Daripada penamaan semula nama sebuah pasukan bola sepak sehinggalah kepada penularan Wabak COVID-19, semuanya dikaitkan dengan batuan politik (political mileage). Yang terbaru ialah isu pencemaran air di Sungai Selangor yang membawa kepada pemberhentian bekalan air ke sebahagian Lembah Klang, yang melibatkan lebih 1.1 juta penduduk. 

Sejak tamatnya PKPB pada 31 Ogos yang lalu sehingga bermula PKPB yang baharu, sudah empat kali penduduk Lembah Klang terputus bekalan air. Bila sahaja bekalan air terputus maka berlakulah episod menuding jari menyalahkan mana-mana pihak, dengan harapan yang dituduh tidak lagi mendapat sokongan pada pilihan raya akan datang. Ada orang awam pula mengugut pihak tertentu untuk tidak mengundi mereka selepas ini.

- Advertisement -

Sekiranya dengan menuding jari ini atau mendesak mana-mana pihak meletakkan jawatan boleh menyelesaikan masalah, boleh jadi tindakan ini boleh dipertimbangkan. Akan tetapi, diyakini tindakan seperti ini akan memburukkan lagi masalah. Bayangkan kalau Kerajaan Persekutuan (PN) dan Kerajaan Negeri Selangor (PH) turut berpolitik dalam perkara ini, LUAS, Air Selangor dan MPS tidak boleh duduk semeja dengan SPAN, JAS dan JPS, adakah akan selesai masalah?

Semua pihak perlu memahami, dalam isu industri perkhidmatan bekalan air ini, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai peranan bersama. Sekiranya masing-masing berpolitik ke atas satu sama lain, maka akan pincanglah bekalan air di sesebuah negeri. Politiking seperti inilah yang berlaku di Kelantan yang dianak-tirikan oleh Kerajaan Persekutuan sejak 1990-an, sehingga menjejaskan bekalan air di negeri tersebut.

Oleh sebab itu sejak mula masuk pejabat, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, mengambil sikap tegas untuk tidak berpolitik dalam hal ehwal yang berkaitan dengan kepentingan rakyat. Walaupun Pulau Pinang dan Selangor di bawah pemerintahan PH, tiada istilah anak tiri sebagaimana yang diperlakukan kepada Kelantan sebelum ini oleh Kerajaan BN dan PH. Semua negeri diberi hak masing-masing.

Sebenarnya di zaman pemerintahan PH selama 22 bulan pun Kelantan dan Terengganu dianak-tiri. Peruntukan yang sudah diluluskan di zaman Dato’ Seri Mohamad Najib Abdul Razak sebelumnya, seperti pembinaan Loji Rawatan Kumbahan di Kota Bharu dan Kuala Terengganu telah dibekukan oleh PH. Adakah PAS akan membalas dendam terhadap tindakan PH ini, dengan bertindak khususnya terhadap Pulau Pinang dan Selangor.

PAS tidak akan bertindak membalas dendam, yang tidak memberi faedah bukan sahaja terhadap PAS bahkan tidak berfaedah kepada rakyat. Sejak masuk ke pejabat Menteri, Ustaz Tuan Ibrahim telah beberapa kali mengadakan perbincangan hati ke hati dengan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Besar Selangor. Antaranya termasuklah berkaitan dengan episod bekalan air terputus di Negeri Selangor sejak kebelakangan ini.

Perkhidmatan bekalan air di Negeri Selangor ini mendapat perhatian mendalam oleh Ustaz Tuan Ibrahim seumpama Negeri Kelantan yang sudah lama dipinggirkan. Di dalam Bajet 2021 baru-baru ini, ada peruntukan tertentu untuk membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Selangor ini, antaranya membeli teknologi pengesan pencemaran. Kementerian juga merancang untuk membina dua lagi Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di kawasan berhampiran.

Sekarang di pihak rakyat pula perlu berganding bahu sama ada dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Golongan pemilik industri perlu mempunyai kesedaran alam sekitar, tidak semata-mata mementingkan keuntungan besar sehingga sanggup mencemarkan sungai. Masyarakat awam pula boleh membantu penguatkuasaan dengan memantau dan segera melaporkan tindakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -