PAS Wilayah seru orang awam rebut peluang berniaga

Imej sekadar ilustrasi - Foto Daily Rakyat

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP), Azhar Yahya menyeru orang awam memanfaatkan peluang Wilayah Bebas Berniaga yang diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini.

Menurut Azhar, khabar gembira itu dimaklumkan pada waktu yang tepat memandangkan ia bakal membuka ruang dan peluang untuk warga kota mencari atau menambah pendapatan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Advertisement

Beliau bagaimanapun menasihatkan para peniaga menyambut peluang dengan berniaga secara jujur, menjaga kebersihan dan tidak menghalang lalu lintas selain menjual dengan harga barangan yang tidak membebankan pengguna.

“Ia selaras dengan perniagaan berasaskan cara dan barangan yang halal dan baik atau Halalan Toyyiba,” ujarnya.

Jelasnya, kelonggaran ini akan merancakkan kitaran ekonomi rakyat terutama golongan B40 sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan yang berdikari mencari pendapatan tanpa mengharapkan makan gaji semata-mata dan digalakkan dengan kepatuhan kepada undang-undang oleh pihak berwajib.

Di samping itu, Azhar turut menyeru orang awam yang kurang terjejas kewangannya memberi sokongan kepada peniaga tempatan dengan membeli produk-produk mereka mampu membantu memulihkan taraf ekonomi para peniaga sekali gus memenuhi keperluan harian.

“Semoga kesempatan berharga ini dapat digunakan sebaiknya oleh rakyat Malaysia ke arah mendapatkan rezeki yang berkat sehingga limpahannya mampu menunaikan zakat, sedekah dan lain-lain untuk manfaat masyarakat,” ujarnya dalam satu kenyataan media, semalam.

Baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya, mulai 15 November ini.

Bagaimanapun, peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web DBKL, yang ditawarkan secara percuma. – HARAKAHDAILY 12/11/2020