KWSP, lanjutan moratarium adalah isu dasar

KUALA LUMPUR: Isu pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun 1 dan pelanjutan moratorium adalah perkara berkaitan dasar dan boleh diumumkan kerajaan pada bila-bila masa, kata seorang Ahli Parlimen.

Advertisement

Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) berkata justeru tindakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 oleh beberapa ahli Parlimen dengan menuntut kerajaan membuat pindaan terhadap dua perkara itu adalah agak ‘janggal’.

“Mungkin saya sedikit berbeza dengan ahli Parlimen lain yang lebih senior tetapi meletakkan syarat sokongan untuk belanjawan ini supaya kerajaan umumkan polisi segera dalam isu KWSP dan moratorium, saya kira ini satu syarat yang agak janggal.

“Saya minta kerajaan buat pertimbangan kerana saya bimbang syarat ini nanti jadi syarat Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Melaka ketika Sultan Melaka mahu meminangnya dengan meletakkan tujuh syarat sedangkan ia bukan tujuan pinangan diterima sebaliknya isyarat pinangan ditolak,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Fadhli berkata sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai cadangan tersenut harus diumumkan segera.

“Isu KWSP yang mana seseorang yang terkesan boleh mohon RM500 sebulan ini perlukan justifikasi sebab kita perlu pertimbangkan ‘survival’ bukan sahaja hari ini dan esok bahkan masa depan rakyat dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu.

“Menteri (Kewangan) sebelum ini menyatakan 32 peratus daripada jumlah pencarum KWSP punyai baki RM1,000 dalam akaun 1 manakala 10 peratus baki akaun mereka RM5,000… di sini kerajaan masih ada ruang untuk mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan ahli Parlimen berbalik kepada prinsip ‘ini bukan masa kita habiskan semua simpanan’,” katanya.

Ahmad Fadhli juga mahu pelanjutan moratorium dilaksanakan tetapi dilakukan secara bersasar dan permohonan juga dipermudahkan.

“Jika moratorium secara automatik kita tidak lihat keberkesanan bantuan ini kepada golongan sasaran yang sepatutnya, lalu menyebabkan ketirisan bantuan dan pembaziran sumber yang ada.

“Walaupun kita yakin ramai perlukan moratorium tetapi saya yakin bahawa ada lagi yang tidak perlukan moratorium kerana data yang ada pada kerajaan, ada juga yang menolak kerana hujah mereka bahawa mereka tetap bayar kepada bank,” katanya.

Sementara itu, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) turut menyokong cadangan membolehkan pencarum KWSP mengeluarkan caruman RM500 sebulan selama 12 bulan, tetapi mencadangkan kadar pengeluaran dinaikkan hingga ke RM10,000.

“Kita di dalam dewan ini melalui kehidupan yang berbeza dengan mereka tetapi sedarlah rakyat sedang menderita, usahlah berbicara mengenai puluhan ribu ringgit, barangkali puluhan ringgit pun mereka sukar untuk peroleh dalam suasana sekarang,” katanya. – BERNAMA