MP Pasir Gudang dinasihat fahami titah Agong

- Advertisement -

SAYA diminta untuk mengulas kritikan YB Hassan Abdul Karim terhadap titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan Istana Negara bertarikh 28 Oktober 2020. Izinkan saya menyampaikan pandangan seperti berikut:

(1) SPB Yang di-Pertuan Agong telah menyampaikan nasihat Baginda melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja agar RUU Perbekalan tidak ditolak semata-mata permainan politiking kerana itu boleh menjelaskan kepentingan rakyat.

Situasi semasa amat kritikal yang memerlukan RUU Perbekalan dibahaskan dan diluluskan dengan merit bagi menangani penularan wabak COVID-19 serta keperluan barisan depan juga pemulihan ekonomi negara.

- Advertisement -

(2) Nasihat yang disampaikan oleh YDPA ialah susulan daripada nasihat-nasihat terdahulu atas kapasiti Baginda sebagai ketua utama negara yang juga merupakan entiti tertinggi dalam Parlimen.

(3) Pada hakikatnya negara kita tidak mengamalkan prinsip pengasingan kuasa seperti di Amerika Syarikat. Malah prinsip pengasingan kuasa sebenar-benarnya juga tidak berlaku di England. Sebaliknya prinsip Perlembagaan kita menetapkan cabang-cabang kuasa di bawah YDPA dan MRR yang terdiri daripada cabang perundangan, eksekutif dan pentadbiran keadilan. Justeru, kita dapat melihat fungsi YDPA dalam ketiga-tiga cabang kuasa tersebut dengan jelas.

(4) Nasihat YDPA tidak menyentuh atau menghalang penjalanan proses di bawah peruntukan-peruntukan seperti yang dibangkitkan dalam kenyataan akhbar YB Hassan.

(5) Sebaliknya, kenyataan media YB Hassan cuba mempertikai prerogatif YDPA untuk menyampaikan nasihat agar prosiding Parlimen tidak diganggu semata-mata ada kepentingan yang tidak sesuai dijadikan keutamaan buat masa ini.

(6)Tiada dalam mana-mana perenggan kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang bermaksud menghalang mana-mana Ahli Parlimen untuk berbahas dan membuat undian. 

Nasihat YDPA lahir daripada keprihatinan Baginda kepada keperluan semasa serta kegusaran Baginda jika RUU Perbekalan tidak diluluskan bukan kerana alasan merit, tetapi jika digerakkan oleh motif politiking.

(7) Perlu ditegaskan bahawa sumpah Ahli Parlimen untuk memelihara, mempertahan dan melindungi Perlembagaan Persekutuan termasuklah kewajipan untuk menghormati prerogatif YDPA yang merupakan entiti tertinggi dalam Parlimen dan pemerintahan Persekutuan. 

Malangnya pada hari ini integriti segelintir Ahli Dewan Rakyat mula dipertikai oleh rakyat kerana aktiviti politiking sejak akhir-akhir ini. Justeru titah nasihat YDPA itu tidak wajar dijadikan polemik.

(8) Saya menghormati kebebasan seorang Ahli Parlimen untuk bersuara. Namun tidak adil jika kenyataan seorang Ahli Parlimen itu dibuat tanpa meneliti maksud dan tujuan titah nasihat YDPA. Kenyataan Istana Negara bertarikh 28 Oktober sepatutnya dihormati malah tidak sekali-kali cuba diputar belitkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh mencabar kewibawaan nasihat YDPA.

(9) Saya berpandangan bahawa perenggan akhir kenyataan media YB Hassan merupakan satu tuduhan liar yang cuba berselindung atas nama ‘amalan demokrasi berparlimen’.

YB Hassan mungkin terlupa bahawa YDPA merupakan bahagian tertinggi dalam institusi Parlimen bahkan Baginda mempunyai kewajipan di bawah Sumpah YDPA untuk memerintah dengan adil dan memelihara keamanan dalam negara.

Sebagai YDPA berposisi pemerintah tertinggi Persekutuan sudah pasti Baginda berhak menyampaikan apa jua nasihat yang Baginda fikirkan mustahak dan perlu. 

Malah Baginda berhak mengulangi nasihat yang sama di Parlimen di bawah Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan sebelum bermula mesyuarat ke III bagi Penggal ke III Parlimen ke-14, bulan depan jika Baginda berkenan.

Apa yang jelas, YDPA hanya menzahirkan hasrat Baginda, tiada unsur paksaan atau sebarang tegahan untuk mana-mana Ahli Parlimen berbahas. 

Baginda boleh sahaja memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat bagi memudahkan proses kelulusan belanjawan negara, tetapi itu tidak berlaku lagi buat masa ini.

Justeru, YB Hassan dinasihati agar meneliti semula teks kenyataan Istana Negara serta bersangka baik dengan hasrat YDPA.

Daulat Tuanku.

DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Pengasas Jurispruden Watan merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, UMP – HARAKAHDAILY 30/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -